sukan

Kerosakan terlalu teruk

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (Kelate.Net) menganggap tiada gunanya lagi mendesak pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham melepaskan kelab tersebut kerana masa itu sudah berlalu.

Presidennya, Mohd. Nurul Md. Yusoh berkata, ia sudah tidak berguna lagi kerana kerosakan terlalu teruk telah berlaku dan penyokong setia The Red Warriors (TRW) perlu menerima hakikat bahawa pasukan itu sudah boleh dianggap terkubur.

Menurutnya, mungkin Kelantan seperti masih diberikan ‘talian hayat terakhir’ untuk mendapatkan lesen kebangsaan tetapi melihat kepada jangkamasa diberikan, ia mungkin sekadar ‘mimpi di siang hari’.

“Nasi sudah menjadi bubur. Dengan kehadiran ‘malapetaka’ terbaharu buat TRW ini, kita serah kepada penyokong serta peminat tegar untuk buat penilaian mengenai masa depan Kelantan FC. Namun perlu terima hakikat dan bersedia untuk ucap selamat tinggal.

“Kepada pemilik kelab, saya tinggal dua persoalan. Adakah beliau masih mampu mengurus tadbir Kelantan FC dan masih relevankah beliau dalam arena bola sepak tanah air,” katanya .

Mohd. Nurul memberitahu, pihaknya terus mendesak agar Norizam tetap mengotakan setiap janji yang telah ditaburkan kepada barisan pemain Kelantan ketika mereka menandatangani kontrak untuk bersama-sama TRW.

Katanya, pemilik kelab berpangkalan di Kota Bharu itu perlu bersikap profesional.

“Kita tidak mahu dengan perkara seperti tawar separuh bayaran atau persetujuan bersama untuk terima peratus-peratus tertentu setakat mana mampu. Kita harap semua pemain dapat bayaran penuh kerana itu hak mereka.

“Lagipun setiap pemain menandatangani kontrak yang saya rasa turut merangkumi perkara-perkara ditawarkan pihak pengurusan. Jadi mesti profesional dan tunaikan semua kandungan kontrak tersebut,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Nasir Sheikh Mohd. Sharif mengesahkan Kelantan FC tidak akan beraksi di saingan Liga Super musim 2024-2025 selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan.

Bagaimanapun Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Perlesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari ini sebelum pukul 5 petang.