sukan

Berita gembira buat peminat bola sepak di Malaysia

Berita gembira buat peminat bola sepak di Malaysia apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengesahkan akan ada siaran langsung kejohanan Piala Asia di Qatar bermula 12 Januari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, RTM akan menyiarkan setiap perlawanan membabitkan pasukan Malaysia malah bukan itu sahaja, peminat turut dapat menonton perlawanan pasukan lain di saluran rasmi itu.

“Ada beberapa pihak yang bertanya sama ada ia akan disiarkan dalam RTM. Jawapannya adalah ya, ia akan disiarkan bermula 12 Januari.

“Saya telah mendapatkan pengesahan daripada pihak-pihak yang berwajib dan Insya-Allah akan disiarkan. Jadi kita boleh tonton di RTM. Jangan risau pihak kerajaan akan pasti kita dapat tonton perlawanan melibatkan perlawanan bukan hanya Harimau Malaya tetapi juga pasukan-pasukan yang lain di Piala Asia ini,” katanya.

Ketika ini, skuad kendalian Kim Pan-gon sudah berada di Qatar bagi mempersiapkan pasukan termasuk perlawanan persahabatan pada 8 Januari dengan Syria.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dengan aksi pertama berdepan Jordan pada 15 Januari ini di Stadium Al Janoub.

sumber:- HM

Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kempen bertemu Bahrain pada 20 Januari di Stadium Jassim Bin Hamad sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan Korea Selatan lima hari kemudian di Stadium Al Janoub.