Pasukan Kelantan FC terus mencipta drama di Liga Malaysia (Liga M) di awal tahun 2024 selepas pemain mereka, Syed Sobri seakan-akan kurang berpuas hati dengan tindakan pemilik kelab itu apabila beliau ‘left group’ begitu sahaja tanpa menjernihkan keadaan.
Dakwa pemain kelahiran Terengganu itu, pemilik Kelantan FC, Norizam Turkiman atau lebih mesra dengan nama panggilan Zamsaham sepatutnya menyelesaikan segala urusan yang tertunggak terlebih dahulu.
“Nak left (keluar kumpulan Whatsapp) pun biar la selesai sisa baki kaki bual tu. Belum selesai apa-apa dah keluar. Orang nak pegang bola dia pun nak pegang bola. Lakar-lakar (kelakar) laa owner (pemilik kelab Kelantan FC) ini sorang,” tulisnya di Instagram story miliknya.
Syed menyertai pasukan dari pantai timur itu sejak 2021 antara pemain penting buat pasukan sehingga berjaya membantu The Red Warrior (TRW) kembali ke pentas Liga Super 2023.
Namun, kehadiran pasukan itu ke kancah liga utama gagal memberi saingan apabila kontroversi lebih menarik perhatian peminat dari prestasi mereka di atas padang.
Hari ini, Arena Metro memaklumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sudah menerima permohonan rayuan Kelantan FC terhadap kegagalan pasukan itu meraih Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim hadapan.
Terdahulu, pada Isnin lalu menyaksikan MFL mengesahkan bahawa TRW gagal memperoleh Lesen Kebangsaan namun diberi peluang untuk membuat rayuan sebelum 8 Januari 2024 ini.
Ia susulan TRW didakwa gagal melengkapkan dua kriteria kewangan dibawah sub kriteria F.04 dan F.11.
sumber:- HM
Ia membabitkan tunggakan gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeson) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.