sukan

Selepas tidak sertai beberapa sesi latihan Cools akhirnya kongsi gambar di IG

Selepas tidak menyertai beberapa sesi latihan bersama skuad kebangsaan, kereta kebal Harimau Malaya, Dion Cools akhirnya menuju ke Qatar untuk bersama skuad itu bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023.

Tonggak pertahanan berusia 27 tahun itu tidak dapat melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 26 Disember lalu susulan komitmen bersama kelabnya, Buriram United.

Bagaimanapun, Cools menerusi laman Instagram miliknya, semalam memuat naik gambar dia berada dalam pesawat menuju ke Qatar untuk bersama skuad kendalian Kim Pan Gon.

Kehadiran pemain kacukan Malaysia-Belgium itu bakal melengkapkan barisan benteng Harimau Malaya yang akan menjadi taruhan Pan Gon bagi menghadapi Piala Asia 2023.

Ia juga pasti membuka ruang buat pengendali dari Korea Selatan itu merencanakan perancangan yang diinginkan menjelang aksi pertama Kumpulan E berdepan Jordan di Stadium Al Janoub, 16 Januari ini.

Cools menjadi antara tonggak harapan buat Harimau Malaya ketika ini dengan dia meledak dua gol ketika skuad negara menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, November lalu.

Dia bakal bergandingan bersama beberapa barisan pertahanan negara termasuk Shahrul Saad, Matthew Davies, La’vere Corbin Ong, Dominic Tan dan Khuzaimi Piee yang turut berada dalam skuad.

Benteng skuad negara dijangka berdepan tugas getir apabila akan bertembung dengan pemain berkelas dunia terutama dari Korea Selatan yang turut diundi dalam Kumpulan E.

Korea Selatan yang dibimbing Jurgen Klinsmann yang memiliki ramai pemain bintang bertaraf dunia termasuk kapten mereka yang juga tonggak Tottenham Hotspur, Son Heung Min, Lee Kang In (Paris Saint-Germain) dan Hwang Hee Chan (Wolverhampton Wanderers).

sumber:- BH

Harimau Malaya akan berdepan Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan, 25 Januari selepas menentang Jordan (16 Januari) dan Bahrain (20 Januari).