sukan

Morales sah tinggalkan pasukan

Spekulasi mengenai masa depan pemain naturalisasi negara, Romel Morales bersama Kuala Lumpur (KL) City akhirnya terjawab selepas dia mengucapkan selamat tinggal kepada skuad City Boys.

Perkara itu diluahkan Morales menerusi coretan penuh emosi di laman media sosial miliknya sambil menyifatkan dia melalui tiga tahun yang luar biasa bersama KL City.

Pemain kelahiran Colombia itu menjelaskan bahawa semua pengalaman dan kenangan hebat bersama KL City sejak menyertai kelab itu pada 2021 tidak akan dilupakan meskipun berhijrah ke pasukan lain.

Dia turut merakamkan ucapan terima kepada pengurusan kelab, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan dan seluruh penyokong KL City yang membantunya sepanjang bersama kelab itu.

“Hari ini adalah hari dengan perasaan bercampur baur. Selepas tiga tahun yang luar biasa bersama, tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua dalam kelab yang hebat.

“Sejak hari pertama, saya merasai sebahagian dari keluarga. Setiap perlawanan dan sesi latihan adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Saya amat menghargai kasih sayang dan sokongan yang anda berikan kepada saya di dalam dan luar padang.

“Sekarang, saya memulakan lembaran baharu dalam kerjaya bola sepak saya, tetapi saya mahu anda tahu bahawa saya akan membawa anda semua bersama. Terima kasih Kuala Lumpur City kerana menjadi rumah bola sepak saya!,” tulisnya.

Meskipun tidak menyebut mengenai hala tujunya selepas ini, Morales dikhabarkan akan menyertai juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sepanjang tiga tahun bersama KL City, Morales mengecapi beberapa detik manis terutama berjaya membantu kelab itu menamatkan penantian 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia selepas mengejutkan JDT 2-0 di final pada 2021.

sumber:- BH

Pemain berusia 26 tahun itu turut menjadi sebahagian daripada skuad City Boys yang mencipta sejarah muncul naib juara Piala AFC tahun lalu selain bergelar naib juara Piala FA musim ini.