Kritikan ‘pedas’ penyokong mengenai pemilihan Natxo Insa dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 tidak memberi kesan terhadap pemain tengah itu.
Ia diakui sendiri oleh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) terbabit yang menegaskan bahawa dia tidak membaca apa-apa tulisan atau komen yang dibuat penyokong di media sosial.
“Sejujurnya saya tidak membaca apa-apa, saya tidak mengikuti media sosial. Siapa yang menyokong saya, terima kasih dan siapa yang tidak menyokong, saya tidak membaca apa-apa, jadi ia tidak memberi kesan,” katanya.
Insa berkata demikian kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas bersama pasukan Harimau Malaya ke Qatar, awal pagi tadi.
Segelintir penyokong atau netizen mempertikai pemilihan Insa ke skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala Asia di Qatar pertengahan bulan ini susulan dia dilihat kurang beraksi bersama skuad JDT.
Pemain yang sudah menjangkau usia 37 tahun itu memiliki pengalaman luas apabila pernah beraksi bersama beberapa kelab Sepanyol termasuk Valencia, Villarreal dan Levante.
Mengulas lanjut, Insa menjelaskan bahawa dia akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu Harimau Malaya berdepan cabaran besar di Piala Asia.
Dia bagaimanapun berkata, Harimau Malaya memiliki skuad terbaik termasuk barisan pemain muda yang mampu memberi impak positif walaupun akan berdepan beberapa pemain ternama di kejohanan itu.
“Sejujurnya kami mempunyai pasukan yang bagus, pemain yang bagus dan juga pemain muda yang beraksi banyak perlawanan. Mereka juga ada pengalaman yang bagus, jadi saya fikir ia akan menjadi perkara yang baik kepada kami.
“Saya fikir dengan skuad yang ada, ia masa untuk kita menikmati (perlawanan). Kita boleh berdepan pemain di tahap tinggi yang beraksi di EPL (Liga Perdana Inggeris).
sumber:- BH
“Kita akan dapat lihat di mana tahap kita apabila menentang mereka. Saya tidak fikir kami perlu letak tekanan, kami hanya perlu pamerkan permainan terbaik,” katanya.