sukan

Faisal Halim bukan sembang kosong

“Mana tahu masa yang akan datang kita di Piala Dunia, siapa pun tak tahu kan.”

Itu nada keyakinan diluahkan tonggak sayap lincah skuad Harimau Malaya, Faisal Halim yang menganggap kejayaan pasukan negara layak secara merit ke Piala Asia di Qatar sesuatu yang amat membanggakan.

Malah, pemain ‘kecik molek’ yang beraksi untuk Selangor FC di Liga Malaysia itu akui tidak mustahil kejutan boleh berlaku di masa hadapan, dengan kancah Piala Dunia pula kemungkinan boleh dilepasi selepas ini.

Katanya, pasukan negara di bawah bimbingan Kim Pan-gon ketika ini sedang meningkat secara perlahan-lahan dan jika momentum itu dapat dikekalkan tidak mustahil kejutan boleh dilakar untuk ke Piala Dunia pula.

“Semua orang ingin bermain di pentas tertinggi seperti Piala Asia ataupun Piala Dunia. Tapi kita di landasan yang baik, kita ‘go step by step’ sekarang kita di pentas Asia.

“Mana tahu masa yang akan datang kita di Piala Dunia, siapa pun tak tahu kan. Benda ini tak boleh jangka.

“Tak ada orang boleh buat keputusan tapi yang penting itu semua hasil kerja keras kita,” ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi tadi.

Pada Jun tahun lalu, skuad kendalian Pan-gon mencipta sensasi apabila menamatkan badi 43 tahun untuk layak secara merit beraksi di Piala Asia selepas kali terakhir melakukannya pada 1980 di Kuwait.

Biarpun pernah berentap di pentas sama pada 2007 lalu, namun ketika itu Malaysia beraksi atas tiket selaku tuan rumah bersama tiga lagi buah negara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Malaysia tidak pernah menjejakkan kaki ke Piala Dunia meskipun pada era 70an pasukan kebangsaan dianggap antara negara terkuat di Asia, dengan pencapaian tertinggi layak ke temasya Sukan Olimpik dua kali pada 1972 dan 1980.

Ujar Faisal lagi, skuad negara yang diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan itu enggan dianggap sebagai pasukan pelengkap jadual.

“Alhamdulillah semua dalam keadaan baik. Semua pemain bersemangat untuk ke Piala Asia. Ini adalah satu peluang yang terbesar untuk pasukan kebangsaan.

sumber:- HM

“Kita pergi ke sana bukan sekadar melengkapkan kuota, tapi kita pergi untuk memberi saingan untuk pasukan lain,” katanya.