sukan

Mahu Syafiq dan Harap tidak memihak kepada pasukan lain

Kelab Penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menganggap pengumuman kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang melepaskan pemain sayapnya, Syafiq Ahmad secara pinjaman ke Pasukan baharu semalam satu peluang baik untuk Sang Kenari sekali lagi mendapatkan khidmatnya pada saingan musim depan.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC) Zulkifli Hashim, peluang untuk Sang Kenari mendapatkan pemain kelahiran Kedah itu kini dilihat semakin tinggi selepas ada ura-ura sebelum ini berkaitan Syafiq bakal di pinjamkan kembali selepas kali pertama pada musim 2021 yang lalu.

“Selepas JDT mengumumkan pelepasan Syafiq secara pinjaman ke kelab lain pada musim depan, kami rasa peluang Sang Kenari untuk mendapatkannya boleh menjadi kenyataan.

“Kami berharap ia bakal berlaku berlaku sekali lagi kerana Syafiq memiliki peranan yang sangat diperlukan KDA FC dalam usaha mempertajamkan barisan serangan seperti mana yang pernah dia sumbangkan pada musim 2021.

“Lagipun ini peluang terbaik untuk Syafiq terus meningkatkan prestasi dirinya dalam kancah Liga Malaysia pada musim depan dan mampu melonjakkan kembali namanya seperti mana yang pernah beliau buktikan sebelum ini bersama Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli juga mengharapkan pengumuman berita perpindahan itu tidak memihak kepada pasukan lain selain Kedah kerana umum turut mengetahui terdapat juga beberapa pasukan lain yang sedang mengintai khidmatnya.

“Kami berharap pengurusan KDA FC bertindak cepat bagi memastikan Syafiq tidak terlepas ke pasukan lain dan jika urusan meminjam pemain berkenaan sudah diuruskan, ia berita baik buat semua penyokong Kedah.

“Kami selaku penyokong sentiasa berharap skuad Sang Kenari mampu meningkatkan lagi kekuatannya bersama barisan pemain yang akan disusun pada musim depan selepas berjaya melengkapkan musim Liga Super 2023 ini pada tangga keempat,” katanya.

sumber:- HM

Syafiq pemain sayap yang pernah dipinjamkan ke skuad Kedah di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak pada musim 2021 lalu, namun beliau dipanggil untuk kembali ke pangkuan JDT semula pada Julai tahun yang sama.