sukan

Kegusaran Pan Gon berasas

Skuad Harimau Malaya boleh dianggap berdepan situasi genting menjelang sepak mula Piala Asia 2023 memandangkan mereka hanya berupaya ‘mengasah kuku’ dalam satu perlawanan persahabatan berdepan Syria pada 8 Januari.

Situasi itu jelas mengecewakan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang mengakui satu aksi persahabatan sebelum berentap pada temasya itu tidak mencukupi namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneruskan ikhtiar untuk mendapatkan perlawanan tambahan.

“Sudah tentu tidak cukup (satu perlawanan) tetapi kita akan cuba mengatasi masalah ini. Kita akan cuba mengatur perlawanan dengan mendapatkan pasukan yang boleh kita hadapi sebelum bersaing di Piala Asia 2023 nanti.

“Cuma tidak banyak pilihan (di Doha) tetapi kita akan berusaha keras untuk mencari jalan penyelesaiannya,” kata Pan Gon pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Terdahulu, Malaysia sepatutnya berdepan Arab Saudi awal bulan depan namun terpaksa dibatalkan atas permintaan ketua jurulatih baharu Arab Saudi, Roberto Mancini.

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang menjelaskan perlawanan berkenaan pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 4 Januari ini sebelum pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar.

Beliau bagaimanapun berkata, pasukan Arab Saudi membatalkan perlawanan itu selepas Mancini membuat perkiraan bahawa terdapat kemungkinan pasukannya akan berdepan Malaysia di pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023.

Dalam masa sama, Pan Gon juga melihat perancangan untuk terbang lebih awal ke Qatar ketika aksi pertama mereka berdepan Jordan yang hanya akan membuka tirainya pada 16 Januari sebagai satu tindakan yang wajar.

“Kita dapat membiasakan diri dan mendapat masa yang secukupnya untuk menyesuaikan diri dengan suasana serta keadaan di sana. Situasi ini akan membantu persediaan kita sebelum beraksi pada 16 Januari nanti.

sumber: BH

“Kita perlu memanfaatkan kelebihan ini untuk melakukan persiapan yang terbaik bagi Piala Asia 2023,” katanya.