sukan

Skuad Kim Pan Gon tidak datang dengan tangan ksosong

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon yang diundi dalam Kumpulan E Piala Asia berdepan ujian sukar apabila perlu berdepan pasukan nombor tiga Asia, Korea Selatan yang menjadi pilihan utama untuk menjuarai kumpulan terbabit.

Bukan setakat Korea Selatan malah dua pasukan dalam kelompok 100 terbaik dunia turut menanti Malaysia, masing-masing Bahrain yang berada di tangga ke-86 dunia serta Jordan yang berada satu anak tangga di bawah Bahrain (87).

Malaysia yang menghuni tangga ke-130 jelas bukanlah pasukan bukan pilihan namun itu tidak bermakna anak buah Pan Gon akan turun dengan ‘tangan kosong’ dalam misi mencipta kejutan di Qatar nanti.

Menjelang sepak mula Piala Asia yang berbaki kurang sebulan lagi, Malaysia memiliki suntikan motivasi selepas memegang peratusan kemenangan tertinggi berbanding tiga lawan mereka sepanjang 2023.

Malaysia merekodkan 69.2 peratusan kemenangan hasil sembilan kemenangan daripada 13 perlawanan yang diharungi sepanjang tahun ini diikuti Korea Selatan dan Bahrain dengan 50 peratus sementara Jordan hanya 22 peratus.

Sudah tentu peratusan kemenangan ini dipengaruhi banyak faktor terutamanya membabitkan jumlah perlawanan dan kualiti pasukan yang ditentang keempat-empat pasukan bagi tempoh 2023.

Namun setidak-tidaknya peratusan kemenangan memberangsangkan itu memberi isyarat betapa skuad kebangsaan ada momentum dan prestasi yang terbaik sebelum membuka kempen Piala Asia berdepan Jordan, 16 Januari ini.

Sementara itu, di sebalik 50 peratus kemenangan dilakar ‘Taeguk Warriors’ namun mereka juga berada pada momentum terbaik apabila memenangi lima perlawanan terakhir berturut-turut tanpa bolos dan meledak 19 gol.

Sejak tewas 1-2 di tangan Uruguay dan 0-1 di tangan Peru, skuad bimbingan Jurgen Klinsmann itu belum tewas dalam tujuh aksi terakhir bagi 2023.

Hanya mengharungi 10 perlawanan pada 2023, juara Asia dua kali itu meledak 23 gol namun hanya bolos lima gol.

Bahrain pula kurang satu perlawanan berbanding Malaysia dan menang enam daripadanya dengan 14 gol berjaya dijaringkan namun melepaskan 12 gol termasuk kekalahan 0-2 pada aksi terakhir berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam enam kemenangan mereka, mereka memenangi perlawanan terbabit tidak lebih daripada dua gol dan aspek ini pasti menjadi tumpuan Juan Antonio Pizzi menjelang aksi pembukaan mereka berdepan Korea Selatan nanti.

Jordan tampaknya berdepan ‘krisis prestasi’ dan 22 peratusan kemenangan ini mungkin ini memberikan peluang terbaik untuk Malaysia mengutip tiga mata.

sumber:- BH

Hanya menang dua daripada sembilan perlawanan setakat ini, mereka gagal meraih sebarang kemenangan dalam enam perlawanan terakhir namun mereka ada satu perlawanan terakhir pada tahun ini menentang Lubnan, 28 Disember.