sukan

Skuad Malaysia B-23 baham China

Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara melakar kemenangan bermakna apabila menewaskan pasukan B-23 China 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Jinshan, Shanghai, sebentar tadi.

Tonggak pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan selepas kedua-dua pasukan buntu mendapatkan jaringan sepanjang tempoh 90 minit.

Keputusan itu boleh dianggap petanda positif buat pengendali baharu Harimau Malaya B-23, Juan Torres Garrido yang dilantik ke jawatan itu pada Oktober lalu.

Anak buah Garrido bagaimanapun sekali lagi akan berentap dengan pasukan B-23 China dalam satu lagi aksi persahabatan, Selasa ini.

Dua aksi persahabatan berdepan skuad B-23 China sebagai persiapan skuad negara bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

Harimau Malaya B-23 diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.

Sementara itu, pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar memuji persembahan barisan pemain Garrido yang dianggap beraksi mengikut perancangan dalam perlawanan itu.

Katanya, perlawanan itu juga memberi keyakinan kepada pasukan selain dapat memperbaiki kelemahan yang ada untuk aksi akan datang.

sumber:- BH

“Terima kasih kepada barisan pemain dan kakitangan teknikal atas apa yang mereka lakukan hari ini. Bukan mudah bermain untuk bermain dalam suhu sejuk, tetapi mereka berjaya lakukan,” katanya.