sukan

Jurulatih luah kelegaan

Perubahan kalendar Liga Malaysia (Liga M) musim depan yang akan bermula pada 3 Mei 2024 memberi kelegaan kepada pasukan bertanding untuk melakukan persiapan pramusim.

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbrucknern menjelaskan tempoh masa yang ada sebelum liga bermula mencukupi untuk membuat perancangan lebih teratur terutamanya dengan sesi latihan dalam bulan Ramadan pada awal Mac.

Malah, beberapa pemain mudanya yang turut akan terbabit dalam Piala Asia B-23 2024 tahun depan pasti akan mendapat kelebihan untuk bersedia tanpa kekangan masa.

“Pemain muda dalam pasukan saya memang penting dan hampir semua daripada mereka beraksi dalam kesebelasan utama.”Jadi, sudah tentu ia akan memberi kelebihan dengan tarikh baharu Liga M pada musim depan bahkan kita juga perlu berlatih dengan tahap maksimum untuk menghadapi bulan Ramadan pula.

“Apabila kita bermula pada awal Mei dan akan tamat pada April 2025, situasi berbeza dapat dirasai terutamanya untuk mencari pemain import baharu nanti lebih senang seiring dengan kalendar Liga M ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah juga berpuas hati dengan kalendar baharu Liga M yang dianggap memberi ruang kepada pemain terutama yang berdepan tugasan bersama skuad kebangsaan mendapat lebih masa untuk melakukan persiapan bersama kelab.

Katanya, Perak juga tidak ketinggalan dari aspek itu selepas tiga pemainnya termasuk Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar, Muhammad Aiman Khairul Yusni dan Muhammad Firdaus Ahmad Fuad yang berkemungkinan akan bersama skuad B-23 ke Piala Asia B-23.

“Saya gembira dengan tarikh baharu ini kerana sekurang-kurangnya kami ada masa lebih lama untuk melakukan persiapan dan dalam masa yang sama juga pengambilan pemain baharu akan dapat diteliti dengan betul.

“Ia satu perkara baik untuk barisan pemain saya yang rata-ratanya muda di mana sekarang pun ada tiga pemain bersama skuad B-23. Jadi kalau mereka dipanggil sekali lagi tahun depan, pastinya kepulangan mereka ke pangkuan kelab akan lebih segar dan bertenaga dengan masa yang ada ini,” katanya.

sumber:- BH

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan musim baharu Liga M akan bermula pada 3 Mei 2024 hingga April 2025.