sukan

Pakej ‘3 dalam 1’

Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon diibaratkan seperti memiliki tiga pemain apabila memanggil pemain naturalisasi terbaharu negara, Romel Morales pada kem latihan sebagai persiapan ke Piala Asia 2023, bulan depan.

Ini kerana jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin melihat pemain KL City FC itu sebagai pemain versatil dan mampu memainkan beberapa ‘watak’ bagi mengisi posisi yang kritikal dalam skuad negara ketika ini.

Malah, bekas pengendali UKM FC ini juga menyifatkan pemain dari Colombia itu memiliki sedikit kelebihan berbanding pemain lain di jentera serangan sekali gus berpeluang untuk membarisi senarai akhir ke Qatar nanti.

“Morales ada kelebihan daripada segi kekuatan individu dan juga rekod jaringan yang agak baik dalam saingan domestik. Kita bagi contoh, Darren Lok adalah pemain nombor sembilan sejati tetapi Morales boleh bermain secara variasi di beberapa posisi.

“Dia boleh menjadi sandaran kepada Darren sebagai nombor sembilan ataupun beraksi sebagai nombor 10. Dia juga boleh diletakkan di posisi tepi menggantikan Arif Aiman (Hanapi) atau Faisal (Halim) mengikut kesesuaian taktikal Pan Gon,” kata Sulaiman.

Justeru, Sulaiman menegaskan tidak timbul isu adil ataupun tidak apabila Morales dikatakan ‘mengambil’ slot pemain lain yang sebelum ini berjuang pada sesi kelayakan ke Piala Asia 2023 namun diketepikan pada panggilan kali ini.

“Tiada istilah adil atau tidak adil dalam bola sepak kerana ia (panggilan) berdasarkan kepada kehendak jurulatih. Di sini, mungkin kehadiran Morales lebih diperlukan dalam skuad kebangsaan apatah lagi dengan kebolehannya beraksi di beberapa posisi.

“Sudah tentu penilaian awal sudah dibuat namun tidak bermakna dia automatik ke Qatar walaupun dipanggil menyertai latihan. Dia tetap perlu menunjukkan prestasi yang terbaik jika mahu memikat hati barisan kejurulatihan skuad negara.

“Cuma kalau dia berjaya menyesuaikan diri dan mengikuti kehendak Pan Gon, saya rasa tak salah untuk dia menjadi tambahan bagi skuad ke Piala Asia 2023 nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sulaiman turut mengharapkan beberapa pemain yang kurang mendapat minit permainan namun tetap dipanggil dapat membuktikan betapa mereka layak untuk berada dalam skuad.

sumber:- BH

“Saya harap Pan Gon tidak silap percaturan dengan memanggil beberapa nama yang kita nampak kurang minit permainan pada musim ini. Jadi mereka perlu membuktikan kemampuan mereka,” katanya.