sukan

Komen bekas pemain Selangor ‘sindiran’ TMJ

Naib juara Liga Super musim ini, Selangor FC tidak perlu melatah dengan kenyataan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sebaliknya, Gergasi Merah seharusnya menjadikan kata-kata Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai cabaran untuk mereka lebih maju pada masa akan datang.

Perkara itu disuarakan bekas pemain Selangor, Azlan Johar sambil menjelaskan kenyataan TMJ harus dilihat dari sudut positif dalam usaha pasukan lain seperti Selangor melakukan perubahan ke tahap terbaik.

Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan menyifatkan kejayaan yang dilakar TMJ buat JDT membuka mata dan laluan buat semua pihak bagaimana untuk berjaya dalam bola sepak.

“Kita perlu pandang (kenyataan TMJ) dari sudut positif, jangan mudah melatah. Pada saya ia satu cabaran dan cabaran itu pun datang dari tuan punya kelab yang hebat, kita tidak boleh menidakkan kejayaan JDT.

“TMJ memberi bukti kepada kita bahawa kelab di negara ini boleh berjaya jika diuruskan dengan betul. Jadi beliau buka mata kita supaya ikut apa yang beliau buat untuk jadi seperti JDT atau lebih baik.

“Jika pasukan mana sekali pun berjaya di peringkat tinggi, kita semua tumpang bangga. Sebagai bekas pemain Selangor, kalau Selangor berjaya di peringkat tinggi, saya fikir TMJ juga turut berbangga, begitu juga rakyat dan peminat bola sepak Malaysia.

“Kita semua nak tengok pasukan dari Malaysia berjaya. Apabila kelab berjaya, ia juga akan memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, TMJ dilaporkan mencabar Selangor untuk memecahkan rekod yang dilakar JDT khususnya selepas menamatkan empat musim dalam Liga Super tanpa sebarang kekalahan.

Malah, Harimau Selatan juga berjaya mencipta rekod menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut sejak 2014 selain muncul pasukan pertama meraih ‘double quadruple’ atau memenangi empat piala dalam satu musim pada 2022 dan 2023.

Mengulas lanjut, Azlan mengakui rekod atau pencapaian yang dilakar JDT itu sukar untuk dipecahkan oleh mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

sumber:- BH

“Untuk kita menyaingi JDT terlalu jauh dan memang susah kita nak kejar rekod dia, terlalu hebat. Tetapi saya tumpang gembira kerana TMJ berjaya membuka mata semua. Sebagai bekas Presiden FAM, sudah pasti beliau juga mahu lihat pasukan lain berjaya,” katanya.