sukan

Azam Azih akhirnya putuskan nasib

Pemain tengah berpengalaman, Nor Azam Azih kekal bersama Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sumber Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), berkata pemain kelahiran Felda Jengka 21, Maran, Pahang itu tidak berhijrah ke pasukan lain.

“Setakat ini khidmat Nor Azam dalam Sri Pahang masih diperlukan dan tiada sebarang kemungkinan dia meninggalkan skuad Tok Gajah.

“Daripada pengurusan kelab juga terutama pemilik SPFC (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah) mahu Nor Azam kekal bersama Sri Pahang sejak menyarung jersi kelab pada 2015.

“Spekulasi yang memaklumkan Nor Azam akan berpindah tidak betul, sebaliknya dia akan kekal bersama untuk terus memperkasakan skuad Tok Gajah musim depan,” kata sumber itu.

Baru-baru ini, Nor Azam, 28, dikatakan akan meninggalkan Sri Pahang apabila ditawarkan beraksi bersama pasukan lain.Namun, perkhabaran baharu itu sudah pasti melegakan Sri Pahang berdasarkan pengalaman dan pada masa sama peminat Tok Gajah mahu Nor Azam kekal.

Ditanya kemungkinan ada perubahan pemain dalam skuad itu musim depan, sumber berkata, kelab itu tidak menafikannya.

sumber:- BH

Katanya, beberapa pemain musim ini akan digugurkan termasuk import berdasarkan prestasi keseluruhan sepanjang musim.