sukan

Bukan sekadar ‘tangkap muat’

Pemilihan pemain naturalisasi terbaharu negara, Romel Morales bagi panggilan kem latihan pusat untuk menghadapi Piala Asia 2023 bukanlah sekadar ‘tangkap muat’ kerana pemain itu memiliki nilai tambah untuk menajamkan lagi skuad Harimau Malaya.

Penganalisis bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus beranggapan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan sudah pasti melakukan pemerhatian teliti dan pemantauan berterusan sebelum membuat keputusan memilih pemain KL City FC itu pada panggilan kali ini.

Malah, bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu turut percaya pemain dari Colombia itu mampu memberi impak positif dengan corak permainan yang ditunjukkan sekali gus menepati ‘selera’ Kim Pan Gon.

“Risiko sudah tentu ada tetapi positifnya adalah dia bermain dalam liga tempatan, sudah tentu ada persefahaman yang tinggi antara dia dengan pemain yang lain. Kita harus percaya pada percaturan Pan Gon.

“Mungkin pemilihan Morales dibuat selepas kajian menyeluruh mengikut keperluan dan strategi yang digunakan nanti sesuai dengan kehadirannya. Berdasarkan fizikal dan imej yang dia ada, dia boleh menambah kekuatan skuad negara di Piala Asia 2023 nanti.

“Saya sangat optimis yang Morales memenuhi kriteria untuk strategi Pan Gon,” kata Fauzi.Terdahulu, Morales bakal menjadi ‘senjata terbaharu’ untuk diuji sebelum ke Piala Asia 2023 selepas dia menjadi antara empat muka baharu dipanggil Pan Gon untuk kem latihan pusat yang akan bermula, Selasa ini.

Related Post

Selain Morales, tiga lagi muka baharu turut dipanggil kali ini adalah Natxo Insa dan Syamer Kutty Abba dari Johor Darul Ta’zim (JDT) serta pertahanan Selangor FC (SFC), Ahmad Khuzaimi Piee.

Dalam masa sama, Fauzi juga mengharapkan Morales memanfaatkan peluang sebaiknya untuk memikat hati barisan kejurulatihan skuad kebangsaan apatah lagi jangkaan sangat tinggi diletakkan ke atas pemain itu.

“Satu peluang yang baik untuk Morales jika dia kekal cergas dan tidak berdepan kecederaan. Dia juga perlu bersedia secara fizikal dan mental, harapnya dia mampu memberikan sesuatu.

sumber:- BH

“Sesi latihan juga bukanlah cara yang terbaik untuk menguji dia, jadi dia perlu menunjukkan prestasi terbaik pada aksi persahabatan nanti,” katanya.