sukan

Seorang lagi import sah angkat kaki

Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Habib Haroon menjelaskan dia tidak lagi bersama pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun pemain kelahiran Bahrain itu belum bersedia untuk mengumumkan destinasi baharunya biarpun spekulasi mengaitkannya bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim depan.

Kata ‘arkitek’ berusia 23 tahun itu, dia begitu berat untuk meninggalkan skuad Penyu selepas hampir tiga tahun menyarung jersi skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu, namun kerana mahu mencari pengalaman baharu menyaksikan dia perlu berpisah dengan penyokong skuad itu.

“Ini adalah salah satu musim yang sangat menakjubkan saya berada di sini (Terengganu), saya sangat sayang pasukan TFC ini dan akan terus menyayangi mereka, tapi inilah hakikatnya saya mahu bertukar tempat dan perlu melangkah pergi untuk mencari pengalaman yang baharu.

“Selama 2 tahun 5 bulan menyarung jersi TFC pelbagai kisah suka dan duka, Terengganu selalu di hati, satu perkara dalam hidup yang tak pernah saya jumpa ialah kasih sayang tulus daripada peminat-peminat di sini.

“Ini kali pertama sepanjang karier dalam bola sepak, sebelum ini saya tidak pernah mendapat sokonan sebegini daripada peminat, ia begitu menakjubkan dan memang luar biasa,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam kelmarin.

Ketika ditanya adakah dia bakal membuat pusingan U sekali lagi untuk terus kekal bersama skuad Penyu itu sebagaimana musim ini, jelas Habib ianya tidak mungkin berlaku seperti sebelum ini.

sumber:- HM

“Apa yang boleh saya jelaskan 150 peratus tidak lagi bersama TFC, saya sudah bersetuju untuk beraksi dengan pasukan baharu, tapi saya belum mahu memaklumkan lagi buat ketika ini kerana menunggu hujung bulan ini untuk menghabiskan kontrak sebelum mengumumkan pasukan baharu,” katanya.