sukan

Nilai Arif Aiman ‘meletup’

Siapa sangka walaupun baru berusia 21 tahun, Arif Aiman Hanapi menunjukkan kematangan ‘luar biasa’ bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang yang dibentuk dari Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) adalah bintang yang semakin bersinar bersama JDT dan mula menyerlah sejak tahun 2021 apabila menjaringkan dua gol dan lima bantuan jaringan.

Dengan kualiti yang ada, sewajarnya nilai Arif Aiman meningkat menerusi kemas kini oleh laman Transfermarkt pada 18 Disember lalu. Nilai terkini anak jati Pahang itu adalah 550,000 Euro (RM2.82 juta) berbanding 450,000 Euro (RM2.3 juta).

Malah pengendali JDT, Esteban Solari menganggap Arif Aiman adalah pemain berbakat dan perlu digilap lagi untuk memastikan konsistensi permainan sentiasa berada di tahap yang memuaskan bagi mengharungi kempen baharu musim depan.

“Arif Aiman pemain yang ‘meletup’ sekarang bersama JDT dan dia harus berkerja keras untuk berada di dalam kesebelasan utama, malah dia membuktikan kenapa saya perlu meletakkannya dalam skuad utama.

“Persaingan sihat di dalam JDT ketika latihan membawa impak positif apabila setiap pemain memberikan kerjasama yang menakjubkan termasuk Arif Aiman, dan saya optimis momentum dan kualiti permainannya akan lebih mantap pada musim depan,” kata Solari.

Pada musim 2023, gol yang dijaringkan meningkat tiga gol dengan 13 bantuan jaringan dan pada musim ini paling menyerlah apabila mucul penjaring terbaik tempatan selepas meledak 12 gol dan 13 bantuan jaringan.

Dengan berakhirnya kancah Liga M, kini nama Arif Aiman dikaitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menyenaraikan bintang muda negara itu sebagai satu daripada lima pemain yang bakal menjadi tumpuan pada saingan penuh prestij Piala Asia di Qatar, awal tahun depan.

Jelas FIFA, Arif Aiman menjadi antara watak penting buat Harimau Malaya terutamanya menerusi pencapaian hebat ditunjukkan pemain JDT itu pada aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan lalu.

sumber:- BH

Dengan pengiktirafan badan induk bola sepak antarabangsa itu, kini terletak kepada kesungguhan Arif Aiman untuk menyinar di pentas Asia sekali gus memberi sinar buat Harimau Malaya yang bersaing dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.