sukan

Kim Pan-gon umum kejutan

Skuad Harimau Malaya benar-benar ‘padu’ menjelang kempen Piala Asia di Qatar bulan depan apabila pengendali negara, Kim Pan-gon menyenaraikan barisan terkuat ke pusingan akhir pentas Asia itu.

Menerusi pengumuman nama 26 pemain yang dikeluarkan, Pan-gon membuat kejutan apabila menyenaraikan buat pertamanya kalinya penyerang naturalisasi terbaharu Malaysia, Romel Morales bagi memperkuatkam jentera serangan negara.

Malah, kehadiran pemain warisan yang jarang dipanggil sebelum ini iaitu Natxo Insa turut mencuri tumpuan dengan kali terakhir pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu beraksi buat negara pada 2018 lalu.

“Berdasarkan senarai di atas, Pan-gon telah mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, November lalu.

“Empat pemain baharu yang tersenarai kali ini ialah dua pemain tengah JDT, Syamer Kutty Abba dan Natxo Insa; pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee serta penyerang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales,” kata kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.

Dalam senarai itu, tonggak JDT mendominasi senarai apabila menyaksikan 13 pemain dipanggil termasuk bintang sensasi negara, Arif Aiman Hanapi.

Ketua pasukan skuad Harimau Malaya, Dion Cools yang beraksi bersama Buriram United di Liga Thailand turut akan di bawa ke Qatar, disamping Junior Eldstal yang kini bermain di Liga Indonesia, Dewa United.

Bagaimanapun, dua pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dengan aksi pertama adalah turun berdepan Jordan pada 15 Januari ini di Stadium Al Janoub.

Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kempen bertemu Bahrain pada 20 Januari di Stadium Jassim Bin Hamad sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan Korea Selatan lima hari kemudian di Stadium Al Janoub.

Dua pasukan terbaik dari enam kumpulan dan empat pasukan terbaik di tangga ketiga akan layak ke pusingan 16 terbaik nanti.

sumber:- HM

Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas kali terakhir bersaing pada 1980 lalu di Kuwait dan ia dianggap pencapaian paling bermakna dalam tempoh 43 tahun itu.