sukan

Tangisan Aidil Zafuan

Tangisan pemain legenda Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak, dalam perlawanan terakhir Liga Super bertemu Penang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, pada Sabtu lalu tampak membayangkan pemain pertahanan tengah berpengalaman itu bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan berkenaan.

Aidil menahan sebak sepanjang separuh masa pertama selepas Arif Aiman Hanapi datang memeluknya selepas meraikan gol pembukaan JDT.

Menguatkan lagi situasi itu, Aidil diraikan oleh rakan sepasukannya selepas perlawanan itu dan pertahanan berusia 36 tahun berkenaan turut beremosi ketika ditemubual wartawan Astro Arena.

“Saya amat gembira melihat JDT sudah di tahap seperti ini dan saya rasa bangga menjadi sebahagian daripada keluarga JDT.
“Saya juga berasa bangga dapat membantu JDT dikenali di seluruh dunia,” katanya.

sumber:- SA

Sebagai rekod, Aidil, yang menyertai skuad Harimau Selatan itu pada 2013, muncul pemain tunggal memenangi Liga Super sebanyak sepuluh kali berturut-turut bersama JDT.