sukan

Safawi sedang ‘dipancing’

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd Mohd Sabri Abas tidak menafikan pihaknya sedang berusaha untuk memikat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menyarung jersi skuad Penyu pada musim depan.

Jelasnya rundingan awal dengan pihak pengurusan JDT sudah dilakukan dan kini menunggu ‘lampu hijau’ daripada pengurusan skuad Harimau Selatan itu.

“Ya, pihak kami kini sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Safawi bagi memantapkan pasukan TFC menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan

.”Selain peminat yang mahukan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menyarung jersi TFC, ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang pernah membimbing pemain itu pada musim 2015 ketika bersama pasukan kelab dari Terengganu, T-Team juga berminat untuk mendapatkan khidmat bekas anak didiknya itu.

“Jika rundingan selesai, pemain itu bakal menyarung jersi pasukan negeri kelahirannya pada musim depan sekali gus memperkasakan lagi jentera serangan pasukan,” kata Mohd Sabri.

Terdahulu nama Safawi kembali menjadi sebutan peminat setia skuad Penyu dalam laman sosial yang melihat perkembangan itu bagaikan sirih pulang ke gagang kerana pemain berusia 26 tahun itu memulakan kariernya dengan menyarung jersi T-Team pada 2014 hingga 2016 sebelum berhijrah ke JDT.

Sepanjang menyarung jersi kelab gergasi Liga M itu, Safawi sudah meledak 27 gol sepanjang 87 penampilannya, malah pemain itu juga pernah dipinjamkan kepada kelab Portugal, Portimonense pada 2020 dan kelab Thailand, Ratchaburi FC pada awal musim ini.

sumber:- HM

Berdasarkan rekod, pemain yang memulakan kariernya dengan sukan sepak takraw mula menyarung jersi skuad kebangsaan bersama pasukan Bawah 19 Tahun (B-19), B-23 dan skuad senior kebangsaan bermula 2016.