sukan

Dendam terbalas dalam penampilan terakhir

Selangor melunaskan dendam ke atas PDRM apabila meraih kemenangan 3-1 dalam aksi terakhir Liga Super musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Gergasi Merah yang tewas 0-1 kepada PDRM pada pusingan pertama, Jun lalu, bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-37 untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Faisal Halim.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe kemudian meraih gol kedua menerusi kapten, Brendan Gan pada minit ke-45 yang melakukan tindakan susulan selepas bola tandukan Ayron Del Valle terkena tiang.

PDRM berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-71 apabila pemain import dari Jordan, Fadi Awad menyempurnakan hantaran Uche Agba.

Richmond Boakye bagaimanapun mengesahkan tiga mata terakhir menjadi milik Selangor apabila meledak gol ketiga pada minit ke-89.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor yang sudah mengesahkan gelaran naib juara Liga Super lebih awal mengumpul 61 mata keseluruhan hasil daripada 20 kemenangan, satu seri dan tewas lima kali.

sumber:- BH

Sementara itu, PDRM kekal di kedudukan kelapan mengutip 37 mata selepas merekodkan 11 kemenangan, seri empat kali dan tewas 11 kali dalam 26 perlawanan.