sukan

Mahu hadiahkan kemenangan untuk penampilan terakhir

Selepas gagal membantu Terengganu FC (TFC) merangkul Piala Malaysia dan layak ke separuh akhir Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), penyerang skuad itu, Ivan Mamut mahu menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan noktah kemenangan.

Jelas pemain berketinggian 1.92 meter itu, hanya kemenangan menentang Perak FC pada aksi terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok mampu meredakan sedikit kedukaan itu.

Pemain yang baru musim ini menyertai skuad Penyu itu turut menyimpan impian untuk menghadiahkan kemenangan terakhir buat peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan padu buat pasukan.

Bagaimanapun pemain yang memakai jersi nombor tujuh itu sedar skuad The Bos Gaurus yang dibimbing Yusri Che Lah adalah lawan yang berbeza dan bukannya sama ketika skuadnya menang 3-0 pada aksi pusingan pertama Jun lalu.

“Perlawanan terakhir liga pada musim ini sudah pasti saya mahu menamatkan saingan dengan kemenangan selain mahu hadiahkan kemenangan itu kepada peminat yang sentiasa menyokong kami biarpun dalam cuaca hujan.

“Kemenangan itu penting buat kami bagi menjaga reputasi sebagai naib juara Piala Malaysia pada musim ini biarpun ia tidak memberikan kesan dalam kedudukan liga sama ada menang ataupun kalah.

“Justeru saya menuntut rakan sepasukan supaya dapat memberikan aksi lebih 100 peratus bagi memastikan tiga mata dapat diperolehi lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

sumber:- BH

“Secara peribadi saya juga mahu menambah koleksi jaringan dalam saingan liga lebih-lebih lagi musim pertama bermain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M),” kata Mamut yang sudah meledak 10 gol dalam saingan Liga Super setakat ini.