sukan

TFC kurangkan import untuk berjimat

Sebagai langkah penjimatan, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd membayangkan akan menyenaraikan hanya lima pemain import pada musim depan.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim yang mengakui faktor kewangan menyebabkan kelab perlu berjimat.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri berkata, keputusan muktamad belum diputuskan lagi memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) masih berlangsung.

“Berbanding musim ini dengan sembilan pemain import, sebagai langkah penjimatan pada musim depan kita jangka akan menyenaraikan hanya lima pemain import sahaja.

“Bagaimanapun keputusan muktamad akan dibuat selepas perbincangan bersama jurulatih dan barisan pengurusan selesai,” katanya ketika ditemui pada Program Exclusive Meet and Greet With World Championship FIM Mini GP di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, petang semalam, yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, tiada rombakan besar dalam pasukan pada musim depan selepas prestasi membanggakan diperagakan TFC pada musim ini sehingga layak ke pentas final Piala Malaysia sebelum tumpas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu.

“Kita membuat pengumuman awal berkaitan pelantikan ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner yang akan terus membimbing skuad TFC pada musim depan bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

sumber:- HM

“Lagipun TFC sudah mempunyai asas kukuh dan berada pada landasan terbaik untuk meneruskan kecemerlangan, kita harapkan prestasi dan pencapaian pasukan lebih baik pada musim depan,” katanya.