sukan

Tang Jie-Ee Wei ikut jejak Aaron-Wooi Yik

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa melupakan langkah ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China.

Tang Jie-Ee Wei tersingkir selepas tewas 21-18, 18-21, 14-21 di tangan beregu keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada aksi terakhir Kumpulan A, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan beregu kelapan dunia berkenaan berada di kedudukan tercorot kumpulan selepas tiga perlawanan dengan satu mata.

Semalam, Tang Jie-Ee Wei membuat kejutan apabila mengejutkan pasangan nombor dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 12-21, 21-16, 21-16 dalam tempoh 61 minit.

Dalam perlawanan di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sebentar tadi, Tang Jie-Ee Wei memasuki gelanggang dengan momentum positif sebelum mencatat kemenangan di set pertama.

Tang Jie-Ee Wei begitupun diberikan tentangan pada set kedua apabila beregu dari Thailand itu mula menemui rentak permainan sebelum mencatat kemenangan yang sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Puavaranukroh-Taerattanachai berjaya menguasai set penentuan meskipun Tang Jie-Ee Wei terus bersemangat memberi tentangan pada penampilan sulung mereka di kejohanan kemuncak musim itu.

Biarpun mencatat kemenangan, beregu dari Thailand itu juga terpaksa akur tersingkir ke separuh akhir apabila turut gagal meneruskan perjuangan ke pusingan seterusnya selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

sumber:- BH

Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengekori jejak beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut tersingkir selepas terkandas di peringkat kumpulan dengan tiga kekalahan berturut-turut.