sukan

Syria mahu ‘repeat’ dengan skuad Pan Gon

Selepas perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi dibatalkan, Harimau Malaya akan mengharungi aksi pemanas badan dengan pasukan di ranking ke-91 dunia, Syria.

Perkembangan itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Syria di laman sosial miliknya dengan skuad itu akan menentang Kyrgyzstan pada 5 Januari depan sebelum aksi bertemu Malaysia, 8 Januari.

“Pengurusan pasukan kebangsaan mengesahkan dua perlawanan persahabatan dengan Kyrgyzstan dan Malaysia dalam persiapan untuk Piala Asia 2023 di Qatar,” jelas Persatuan Bolasepak Syria.

Semalam, BH Sukan melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan aksi persahabatan dengan Arab Saudi yang sepatutnya berlangsung pada 4 Januari depan terpaksa dibatalkan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata perlawanan itu dibatalkan atas permintaan ketua jurulatih baharu Arab Saudi, Roberto Mancini.

“Arab Saudi memaklumkan kepada FAM bahawa perlawanan ini tidak dapat diteruskan kerana Mancini membuat congakan bahawa pasukan kendaliannya itu berkemungkinan bertemu Malaysia di seawal pusingan 16 terbaik (Piala Asia),” kata Noor Azman.

Malaysia pernah menentang Syria beberapa kali sebelum ini dengan pertembungan terbaharu dalam aksi persahabatan di China pada September lalu yang menyaksikan Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan untuk meraih keputusan seri 2-2.

Harimau Malaya yang kini menduduki ranking ke-130 dunia dijangka memulakan kem latihan pusat minggu hadapan sebagai persiapan menjelang pusingan akhir Piala Asia 2023.

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang layak secara merit ke kejohanan tertinggi Asia itu buat kali pertama selepas 43 tahun diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

sumber:- BH

Malaysia dijadual menentang Jordan pada 16 Januari depan sebelum berdepan Bahrain (20 Januari) dan aksi terakhir kumpulan bertemu Korea Selatan (25 Januari).