sukan

Bergson hampir pasti kempunan musim ini

Selepas perebutan kejuaraan Liga Super sudah berakhir lebih awal dan penentuan naib juara dimuktamadkan minggu lalu, tumpuan kini terarah kepada perebutan untuk gelaran penjaring terbanyak Liga Super 2023.

Mengikut rekod di laman Liga Bolasepak Malaysia (MFL), penjaring terbanyak musim lalu, Bergson da Silva mungkin terpaksa melepaskan ‘takhtanya’ musim ini selepas ketinggalan empat jaringan di belakang penggempur Selangor FC (SFC), Ayron del Valle.

Selepas meledak gol kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali gus mengesahkan slot ke saingan Asia musim depan, penyerang Colombia itu menghimpun 23 gol dan berpeluang memenangi gelaran Penjaring Terbanyak Liga Super pada musim pertamanya di Liga Malaysia (Liga M).

Berbaki satu perlawanan, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu jelas perlu ‘mengamuk’ pada aksi terakhir berdepan Penang FC (PFC) di laman sendiri, Sabtu ini sambil mengharapkan Ayron buntu di hadapan gol ketika berdepan PDRM FC pada Ahad.

Seorang lagi penyerang JDT, Fernando Forestieri turut berkongsi kedudukan dengan Bergson sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Super 2023 dengan 19 jaringan setakat ini.

Bagaimanapun, rekod jaringan terbanyak semusim dilakukan Bergson pada musim lalu dengan 29 gol dijangka selamat memandangkan Del Valle perlu meledak sekurang-kurangnya enam gol dalam tempoh 90 minit untuk menyamai rekod terbabit.

Sebagai rekod, Bergson memecahkan rekod jaringan semusim yang sebelum itu dipegang penyerang Selangor FC (SFC), Ifedayo Olusegun yang berjaya menjaringkan 26 gol pada musim 2021.

Catatan 26 gol semusim itu memadam rekod yang sebelum itu dipegang bekas penyerang Kelantan FC dan JDT, Mohamad Ghaddar yang meledak 23 gol pada musim 2017.

Sementara itu, perebutan bagi gelaran Penjaring Tempatan Liga Super juga sengit selepas tiga pemain tampak berpeluang untuk merangkul anugerah yang dimenangi Darren Lok pada musim lalu dengan 10 gol.

Dua pemain tempatan berkongsi kedudukan di tempat teratas iaitu pemain sayap lincah SFC, Faisal Halim dan pemain tengah KL City FC, Paulo Josue dengan 11 gol.

sumber:- BH

Sementara itu, pemain yang dijangka mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) buat kali ketiga berturut-turut, Arif Aiman Hanapi pula mencetak lapan gol buat JDT.