sukan

Manchester United sah tersingkir dari Liga Juara-Juara

Manchester United tersingkir daripada Eropah apabila kekalahan 1-0 di laman sendiri kepada Bayern Munich awal pagi tadi melengkapkan kempen Liga Juara-Juara yang teruk buat Red Devils.

Kingsley Coman menyumbat gol tunggal pada minit ke-70 buat juara Jerman itu, yang sudah lama memastikan tempat mereka ke pusingan 16 terakhir, sekali gus menyaksikan United tidak berpeluang sekurang-kurangnya meneruskan saingan dalam Liga Europa.

Penyingkiran awal yang memalukan daripada pertandingan elit Eropah meningkatkan tekanan buat pengurus Erik ten Hag ketika United turut menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris.

Harapan United dalam Liga Juara-Juara sudah lama terjejas sebelum kehadiran Bayern apabila mereka gagal menang tiga daripada empat perlawanan mereka menentang Copenhagen dan Galatasaray.

Copenhagen menundukkan Galatasaray 1-0 awal pagi tadi untuk menyertai Bayern pada pusingan 16 terakhir dengan kelab gergasi Turkiye itu berakhir di tangga ketiga dan layak ke Liga Europa.

Ia hanya kali keempat kelab Inggeris berakhir di tangga tercorot dalam kumpulan saingan Liga Juara-Juara.

United kendalian Ten Hag terus dilanda krisis Sabtu lalu apabila Bournemouth menang kali pertama di Old Trafford dan membawa pulang tiga mata hasil kemenangan selesa 3-0.

Bekas bos Ajax itu memanggil semula Raphael Varane dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam hampir dua bulan.

Pertahanan Perancis itu secara mengejut diketepikan oleh Ten Hag, namun dijangka memainkan peranan utama dalam beberapa minggu akan datang apabila Harry Maguire dan Luke Shaw terpaksa dikeluarkan awal pagi tadi kerana kecederaan.

Bayern sudah memastikan layak sebagai juara Kumpulan A tetapi anak buah Thomas Tuchel mahu membuktikan sesuatu selepas mengalami kekalahan teruk 5-1 di Eintracht Frankfurt Sabtu lalu.

sumber:- BH

Harry Kane turun dalam kesebelasan utama sekembalinya ke England dan memainkan peranan penting terhadap gol kemenangan apabila dia mengumpan kepada Coman untuk merembat masuk melepasi Andre Onana. – AFP