sukan

Alasan Surachai dibelasah JDT

Pengendali BG Pathum United, Surachai Jaturapattarapong terpaksa akur dengan keputusan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menjadi titik kebangkitan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mencipta kemenangan 4-1 semalam.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad yang bergelar The Rabbits menutup saingan kumpulan itu tanpa merekodkan sebarang kemenangan selepas tewas kesemua pertemuan menentang JDT, Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.

Jelasnya, pemainnya sudah beraksi dengan baik pada babak pertama apabila membuka jaringan pada minit ke-28 hasil jaringan Igor Sergeev.

Katanya, situasi mereka berubah apabila pengadil perlawanan, Ma Ning membuat keputusan kontroversi dengan menghadiahkan skuad kendalian Esteban Solari sepakan penalti dan melayangkan kad kuning kedua kepada Danilo Alves menyebabkan mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

“Walaupun ia tidak begitu jelas kelihatan selepas melihat insiden itu, kami terpaksa menerima keputusan pengadil perlawanan dan bermain dengan 10 pemain. Keadaan ini jelas memberi kesan kepada kami.

“Ini adalah tugas yang sukar kerana terpaksa berdepan dengan lawan yang mempunyai jentera serangan berbisa seperti Heberty (Fernandes), Bergson (Da Silva) dan Arif Aiman (Hanapi). Saya terpaksa melakukan perubahan taktikal namun tetap sukar mengekang mereka,” katanya.

sumber:- HM

Dalam pada itu, Surachai berikrar untuk bangkit pada saingan ACL bagi musim depan dengan barisan pemain yang lebih baik serta corak dan taktikal permainan yang lebih utuh supaya berjaya melangkah lebih jauh.