sukan

Safawi hampir pasti sertai pasukan baharu musim depan ?

Nama pemain Harimau Malaya Safawi Rasid kembali menjadi sebutan penyokong bola sepak tanah air apabila dia dikhabarkan akan beraksi bersama Terengganu FC pada musim depan.

Walaupun terlalu awal untuk mengesahkan situasi terbabit, namun perkhabaran pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk pulang ke kampung halamannya heboh diperkatakan di media sosial.

Malah, video yang pernah dimuat naik beberapa tahun lalu di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers ketika dia meninggalkan JDT pada 2020 kerana dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense kembali mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air.

Video berdurasi 49 saat itu menunjukkan pemain berusia 27 tahun itu memeluk pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum berlepas ke Portugal.

Menurut sumber Arena Metro memaklumkan pemain paling bernilai (MVP) 2019 itu boleh dikatakan hampir pasti akan menyertai skuad Penyu pada musim depan sekali gus memberi peluang dan ruang supaya dia kembali mendapat sentuhan berbisa bersama pasukan kebangsaan.

“Jika diikutkan dia (Safawi) hampir pasti sertai Terengganu pada musim depan namun belum ketahui sama ada secara pinjaman atau sebaliknya,” katanya.

Mengikut rekod, kehadiran anak jati Dungun, Terengganu itu sudah pasti menambah kekuatan skuad kendalian Tomislav Steinbrückner yang pernah menyatakan minat mendapatkan khidmat pemain terbabit pada musim ini.

Bagai sirih pulang ke gagang, Safawi sebelum ini beraksi bersama pasukan T Team (Terengganu II) selama dua tahun sebelum mengubah haluan untuk menyertai skuad Harimau Selatan pada 2017.

Sepanjang tempoh menyertai JDT, Safawi sudah menjaringkan 27 gol daripada 87 penampilan namun sejak kebelakangan ini pemain terbabit sering memanaskan bangku simpanan.

sumber:- HM

Oleh itu, langkah tepat dan terbaik dalam mengembalikan semula sentuhan Safawi yang sebelum ini sering dibayangi kelibat Arif Aiman Hanapi hingga menyebabkan namanya tenggelam sejak dua musim lalu.