sukan

Perlawanan akhir JDT dan TFC yang terakhir saya ke stadium — Asiah

“Aksi final Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin yang terakhir saya melangkah ke stadium selepas abang (suami) pergi buat selama-lamanya,” demikian luah Nor Asiah Rashid, 37.

Kakitangan bank di Kuala Terengganu itu berkata demikian selepas suaminya, Mohd Zaki Deraman, 57, pengsan di Stadium Nasional, Bukit Jalil ketika menyaksikan perlawanan akhir antara TFC dengan JDT Jumaat lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Nor Asiah berkata, beliau tidak menyangka suaminya yang mempunyai rekod penyakit jantung dan pernah diserang penyakit itu pada tahun 2019 selain sentiasa mendapat rawatan di hospital menghembuskan nafas terakhir dalam situasi itu, namun menerimanya dengan tabah dan reda.

Menurutnya, sebelum itu arwah suami memberitahu rakannya untuk pergi ke tandas pada minit akhir perlawanan.”Selepas tamat perlawanan ketika keluar dari stadium, saya menelefon suami untuk pulang, tetapi polis yang angkat dan minta saya pergi ke tempat parkir ambulans di pekarangan stadium tanpa memaklumkan lagi apa yang berlaku cuma cakap suami pengsan sebelum dibawa ke HUKM.

“Namun suratan takdir arwah suami pergi buat selama-lamanya selepas disahkan pihak HUKM dan kami berpisah di stadium ketika memberikan sokongan padu kepada TFC,” katanya yang membayangkan tidak akan menjejak kaki lagi ke stadium selepas ini.

Nor Asiah yang berlepas dari Kuala Terengganu ke Bukit Jalil bersama suami dan anaknya, Ziqry Ilham Haiqal, 9, dengan menaiki kereta berkata, suaminya begitu teruja untuk menyaksikan pasukan kesayangannya merangkul trofi berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi Terengganu 22 tahun lalu.

“Ketika berada di dalam stadium kami duduk berasingan, namun sebelum beratur untuk memasuki stadium suami sempat peluk dan cium dahi saya sambil mengungkapkan perkataan abang sayang.

“Malah ketika beratur pun saya lihat suami sempat lagi melambaikan tangan kepada saya dengan wajah sayu sekali gus terdetik rasa pelik sedangkan saya tahu tempat duduk kami di dalam stadium tidak begitu jauh dan pastinya nampak.

“Walaupun pelik dengan tindakan suami kerana berlainan berbanding sebelum ini, tapi saya tidak fikir apa-apa kerana saya dan suami sudah biasa pergi ke stadium dan boleh dikatakan kami memang ‘kaki bola’.

sumber:- BH

“Saya bersyukur semua urusan berjalan lancar dan jenazah suami dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun selepas solat Asar pada Sabtu,” katanya yang baru pulang menunaikan ibadah umrah bersama suaminya pada 7 Oktober lalu.