sukan

Manchester City kembali kejar pendahulu Liga

Manchester City terselamat daripada ancaman di Luton sebelum mengakhiri rentetan tanpa menang dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-1, manakala masalah Chelsea bertambah dengan kekalahan 2-0 di Everton lewat malam tadi.

Tottenham menang kali pertama dalam enam perlawanan ketika dua gol Richarlison mencetus inspirasi kemenangan besar 4-1 ke atas Newcastle awal pagi tadi.

Ketika bintang serangan Erling Haaland tidak beraksi kerana cedera, City ketinggalan menerusi gol Elijah Adebayo pada masa kecederaan babak pertama di Kenilworth Road.

Namun selepas mensia-siakan banyak peluang, anak buah Pep Guardiola akhirnya kembali memukau dengan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas rehat.

Bernardo Silva menyamakan kedudukan sebelum Jack Grealish meledak gol kemenangan untuk memberikan City kemenangan pertama yang amat diperlukan dalam lima perlawanan liga.

Selepas persembahan lesu ketika kalah 1-0 di Aston Villa Rabu lalu, yang menyusul selepas seri dengan Chelsea, Liverpool dan Tottenham, City berada dalam bahaya terkeluar daripada persaingan merebut kejuaraan.

Kemenangan Liverpool di Crystal Palace kelmarin melonjakkan pendahulu liga itu tujuh mata di depan City.

Namun pasukan tangga keempat City bangkit dengan persembahan bertenaga untuk merapatkan jurang dengan Liverpool kepada empat mata.

“Perkara paling penting untuk mengubah dinamik adalah memenangi perlawanan. Ia banyak membantu,” kata Guardiola.

“Kadang-kadang kami tidak dapat keputusan ketika kami berhak menang, tetapi begitulah. Hari ini satu ujian yang bagus dan kami melakukannya dengan sempurna.”

Everton terus mengetepikan impak dipotong 10 mata ketika kemenangan ke atas Chelsea meletakkan The Toffees empat mata di atas zon penyingkiran.

Abdoulaye Doucoure membuka tirai jaringan di Goodison Park sebelum gol sulung Lewis Dobbin buat Everton mencetus satu lagi kekalahan memeritkan buat bos Chelsea, Mauricio Pochettino.

Jika tidak dikenakan hukuman penalti kerana melanggar peraturan kewangan, anak buah Sean Dyche patut berada di pertengahan liga empat mata di depan Chelsea.

Pochettino merombak skuadnya selepas persembahan lesu ketika tumpas 2-1 di Manchester United pada pertengahan minggu lalu.

“Ini perlawanan yang patut dimenangi. Ia masalah yang perlu kami lihat semula. Kami perlu berbincang dan cuba meningkat dalam pasaran perpindahan berikutnya,” kata Pochettino.

Sejak mendahului EPL selepas menundukkan Crystal Palace pada 27 Oktober lalu, Tottenham kalah empat daripada lima perlawanan terakhir mereka sekali gus menjejaskan rentak susulan permulaan cemerlang pada awal musim.

Taktik menyerang Ange Postecoglou dianggap naif dalam tempoh itu, namun pengendali dari Australia itu mengekalkan falsafahnya dan mendapat ganjaran berikutan pesta gol berdepan Newcastle.

Destiny Udogie meletakkan Tottenham di depan pada babak pertama di utara London dan penyerang Brazil, Richarlison menggandakan kedudukan sebelum rehat.

Richarlison menambah satu gol lagi pada babak kedua sebelum Son Heung Min melengkapkannya dengan sepakan penalti lewat permainan ketika pasukan tangga kelima Tottenham merapatkan kedudukan kepada tiga mata berbanding pasukan tangga keempat Manchester City.

Gol Joelinton pada saat akhir menjadi gol saguhati buat Newcastle yang gagal memberi cabaran.

sumber:- BH

“Permainan menyerang kami sebagus sebelum ini. Anda boleh lihat Newcastle hilang punca. Kami sudah melaluinya dan harapnya kami berjaya meneruskan rentak kemenangan ini,” kata Postecoglou. – AFP