sukan

Kelantan Kena lagi

Pasukan tercorot Liga Super, Kelantan FC tewas buat kali ke-12 berturut-turut dalam semua pertandingan apabila dibelasah PDRM FC 7-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad ‘The Red Warriors’ menambah koleksi bolos kepada 115 gol dan kekal dengan pungutan satu digit mata ketika saingan berbaki satu perlawanan lagi.

Meskipun Kelantan FC berjaya memberi saingan, gawang mereka hanya bertahan setakat 19 minit apabila dibolosi menerusi tandukan James Okwuosa bermula daripada sepakan sudut.

Kelantan FC membuatkan juara Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023 itu sedikit gentar selepas rembatan kencang S Reegan menggegar palang mereka pada minit ke-31.

Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi cemerlang menepis percubaan Bruno Suzuki pada minit ke-43 namun dia tewas kali kedua menerusi penyudah Izaaq Izhan di hujung separuh masa pertama.

Babak kedua begitu rancak apabila pelawat gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54 dan PDRM FC menambah gol ketiga menerusi jaringan Kyaw Min Oo (m59) disusuli gol daripada Bruno Suzuki (m61).

Mohamad Khala’if Mohd Naskam mengurangkan defisit kepada 1-4 hanya dua minit selepas gol keempat PDRM FC, namun Bruno kembali meletakkan PDRM 5-1 seminit berselang.

Kelantan FC beroleh gol kedua menerusi sepakan percuma menarik daripada Leonardo Rolon (m-72) namun tuan rumah mendapat gol keenam hasil jaringan Muhammad Nur Iqmal Harun dua minit kemudian.

Berbaki satu minit masa sebenar, Bruno melengkapkan hatriknya selepas menewaskan Irfan Haikal buat kali ketujuh, malam ini.

sumber:- BH

Selepas ini, Kelantan FC akan menutup kempen musim 2023 dengan ‘Derbi Kelantan’ menentang Kelantan United (KUFC) manakala PDRM FC akan berdepan naib juara Liga Super, Selangor FC (SFC) di Stadium MBPJ.