Pemilihan pengadil bagi final Piala Malaysia, S Logeswaran kelmarin, disifatkan agak mengejutkan terutama selepas melihat prestasinya sepanjang perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mengundang kritikan pemerhati dan penyokong.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli turut mempersoalkan prestasi pengadil itu yang dilihat seakan teragak-agak dan tidak mampu mengawal permainan dengan baik sekalipun dibantu dengan kelibat beberapa pembantu pengadil pada aksi terbabit.
Pekan berkata, sebagai pengadil yang diberikan penghormatan untuk mengadili final berprestij itu, Logeswaran seharusnya lebih ‘garang’ dan tidak menunjukkan kelemahannya selaku pengadil.
“Apa yang saya nampak daripada perlawanan final itu, saya nampak pengadil seolah-olah berada dalam keadaan tertekan, kita nampak dia seakan kerisauan dan ketakutan.
“Kita nampak kebimbangannya dalam membuat keputusan yang sepatutnya, mungkin dia risau keputusannya itu tidak akan memuaskan hati mana-mana pihak.
“Tetapi sebagai pengadil yang dipertanggungjawab untuk aksi final, dia seharusnya tidak ragu-ragu dan perlu tegas dengan keputusannya. Kita lihat pun memang ada beberapa keputusan yang kontroversi.
“Merujuk kepada insiden penalti TFC, kita berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan pembantu pengadil tambahan yang digunakan sebagai pilihan untuk mengurangkan tekanan Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Kalau tidak, perlawanan akan bertambah buruk dan mencetuskan lebih banyak kontroversi, lebih panas dan lebih hangat,” kata Pekan.
Dalam masa sama, Pekan menyatakan pengadil yang kompeten akan tetap dapat mengendalikan perlawanan tanpa kontroversi meskipun tanpa penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Final tahun lalu pun tiada VAR tetapi tidak timbul isu. Kalau kita turunkan pengadil yang lemah dan sentiasa membuat keputusan yang tidak baik, penggunaan VAR pun tidak banyak membantu.
“Cuma ini tidak bermakna kita tidak perlu gunakan VAR kerana sudah sampai masanya untuk aksi besar seperti ini. Tetapi kita perlu pastikan pengadil kita benar-benar mantap dan pengadil yang benar-benar terbaik ditugaskan untuk mengadili final.
“Lebih 80,000 penyokong datang daripada jauh untuk menonton perlawanan dan sudah pasti mereka mahukan perlawanan yang adil dan dikelolakan pengadil yang cekap,” katanya.
Terdahulu, persembahan Logeswaran dikritik hebat peminat pada aksi final Piala Malaysia selepas didakwa agak berat sebelah khususnya membabitkan sepakan penalti dihadiahkan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).
Ini selepas Logeswaran didakwa memberikan penalti yang ‘lembut’ dan tidak menunggu masa yang lama untuk memberikan penalti kepada JDT susulan kekasaran Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri
Namun ‘layanan berbeza’ diberikan kepada TFC apabila Ivan Mamut dijatuhkan Jordi Amat apabila Logeswaran pada mulanya tidak memberikan sepakan penalti namun pembantu pengadil, Muhammad Farhan Abdul Aziz mengangkat bendera untuk mengesahkan ia adalah penalti.
sumber:- HM
Malah, Logeswaran juga tidak melayangkan kad merah kepada Jordi Amat selepas pertahanan JDT itu menghalang Mamut daripada menjaringkan gol meskipun menghadiahkan penalti kepada TFC.