sukan

Cabar pasukan Liga M lain saingi JDT

Semua pasukan di Liga Malaysia (Liga M) perlu menjadi bertambah baik bagi memastikan kualiti liga tempatan terus berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding ketika ini.

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menegaskan peningkatan ditunjukkan semua pasukan bertanding adalah satu perkara yang mustahak bagi menjadikan saingan domestik lebih kompetitif dan mencabar.

Tegasnya, pasukan yang lebih baik dapat memberi lebih saingan kepada skuad Harimau Selatan yang secara tidak langsung turut membantu pasukan bimbingannya menikmati cabaran yang lebih sengit meskipun di peringkat domestik.

“Peningkatan yang diperlukan adalah apabila semua pasukan Liga M turut menjadi bertambah baik kerana kita tidak boleh bertanding di Liga Juara Juara (ACL) setiap hari.

“Kita hanya bermain enam perlawanan (ACL) setahun dan untuk menjadi lebih baik, anda perlu sentiasa bersaing dan bermain dengan pasukan yang lebih baik,” kata Solari.

Dalam masa sama, Solari turut melihat beberapa pasukan mula menunjukkan peningkatan namun semua pihak perlu terus berganding mahu untuk mengangkat martabat liga tempatan ke tahap yang jauh lebih baik.

“Contohnya Terengganu FC (TFC), mereka memberi saingan yang baik kepada kami dan juga beberapa pasukan lain. Tetapi kebanyakan pasukan tiada tempat latihan dan padang yang baik untuk bermain.

“Saya fikir kita perlukan usaha semua pihak untuk menjadikan bola sepak Malaysia lebih dan dengan cara itu, liga kita juga akan menjadi bertambah baik,” katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri selepas melengkapkan ‘double quadruple’ dengan meraih empat trofi buat dua musim berturut-turut hasil kejayaan menjulang Piala Malaysia, Jumaat lalu.

Mereka turut meneruskan dominasi dalam saingan Liga Super apabila berjaya menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dan meninggalkan naib juara, Selangor FC (SFC) dengan 15 mata setakat ini.

sumber:- BH

Malah, mereka belum lagi tewas sepanjang musim ini dan hanya berbaki satu perlawanan lagi sebelum menutup kempen domestik dengan rekod ‘invincible’.