sukan

Saya mahu selamatkan ‘maruah’ beliau

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui terdapat sedikit ‘perang mulut’ kerana membantah tindakan rakan sepasukan Arif Aiman Hanapi untuk mengambil sepakan penalti kedua pada lewat permainan Final Piala Malaysia, malam tadi.

Penyerang berasal dari Brazil itu berkata, tindakan terbabit adalah demi menyelamatkan ‘maruah’ Arif Aiman daripada di kecam jika gagal menjaringkan gol terbabit.

Bergson berkata, dia percaya dengan kebolehan yang ada pemain muda itu dan bersyukur kerana sepakan Arif menemui jaring sekali gus mengangkat dirinya sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

“Saya ada sedikit bantahan dengan Arif kerana permainan ini sedikit sukar. Saya sayangkan dia tetapi dia masih muda dan jika dia gagal sempurnakan penalti serta lawan lakukan serangan balas dan jaringkan gol, semua penyokong akan marah kepadanya.

“Atas sebab itu saya cuba galas tanggungjawab itu kerana saya adalah pengambil penalti pertama pasukan dan sudah berusia 32 tahun tetapi syukur dia berjaya jaringkan gol.

“Saya percaya padanya tetapi dalam situasi permainan ini ianya risiko yang besar untuk pemain muda sepertinya tetapi Arif adalah pemain yang cukup baik dan banyak membantu pasukan,” katanya.

Selain itu, Bergson mengakui Terengganu FC bukan mudah untuk ditumpaskan apabila menggunakan taktikal ‘parking bus’ selain keadaan padang teruk menyebabkan sukar setiap serangan diterjemahkan kepada gol.

“Sejujurnya kami tahu betapa sukarnya perlawanan ini dari minit pertama dengan keadaan padang yang teruk tetapi kami tidak mempunyai sebab untuk mengeluh sebaliknya jadikannya motivasi kerana ini adalah tugas kami dan kami lakukan dengan baik dan gembira dengan satu lagi kejuaraan.

“Perbezaan antara kedua-dua pasukan pada pendapat saya adalah sikap. Mereka mulakan perlawanan dengan memarkir bas dan hanya menunggu lawan melakukan kesilapan. Tetapi kami bangkit menyerang mereka dari sayap dan cipta lebih peluang dan akhirnya menang perlawanan ini,” katanya.

sumber:- HM

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan JDT menyapu bersih kejuaraan untuk musim 2023 apabila memenangi Piala Malaysia selepas menumpas Terengganu FC 3-1.