sukan

Komen Solari mutu pengadilan di Final

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan pengadil bertindak adil apabila tidak melayangkan kad merah kepada Jordi Amat dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Solari menjelaskan bahawa kapten Harimau Selatan itu sememangnya tidak patut mendapat kad merah kerana hanya melakukan satu atau dua kekasaran sepanjang perlawanan.

“Saya tidak rasa dia (Amat) patut dilayangkan kad merah kerana kekasaran itu. Kalau kita lihat, ketika permainan Amat hanya melakukan satu atau dua kesalahan dan tidak lebih dari itu.

“Pada penghujungnya, saya fikir bukan mengenai kekasaran atau kad, jika anda melihat keseluruhan perlawanan JDT cuba bermain bola sepak dengan mencipta peluang dan menguasai permainan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Terdahulu, beberapa pihak termasuk bekas pemain menyifatkan Amat sepatutnya dilayangkan kad merah pada minit ke-21 kerana mengasari penyerang Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut di dalam kotak penalti.

Sebaliknya, pengadil yang mengendali perlawanan berkenaan, S Logeswaran hanya memberikan kad kuning kepada pemain kebangsaan Indonesia itu.

Malah, mutu pengadilan Logeswaran turut dipertikai kerana dia lambat untuk membuat keputusan memberi sepakan penalti kepada TFC sedangkan jelas Jordi mengasari Mamut.

Satu lagi insiden pada babak kedua yang mana Amat dilihat menarik Mamut hingga terjatuh, pengadil tidak melayangkan kad kuning kedua terhadap pertahanan JDT itu.

Perlawanan itu berkesudahan dengan JDT merangkul kejuaraan keempat Piala Malaysia apabila menewaskan TFC 3-1, sekali gus mencipta sejarah muncul pasukan pertama meraih ‘double quadruple’.

Selain itu, Solari menjelaskan bahawa penyumbang terbesar kejayaan JDT adalah hasil gerak kerja yang dilakukan pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selain daripada kerja keras barisan pemain.

sumber: BH

“Kejayaan ini adalah milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab. TMJ bukan sahaja menyumbangkan pelbagai kemudahan dari semua aspek untuk JDT, tetapi dia juga berusaha untuk meningkatkan prestasi Harimau Malaya dan membantu menaikkan taraf Liga Malaysia,” katanya.