sukan

Permohonan maaf sahaja tidak cukup

Permohonan maaf sahaja tidak mencukupi daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sebaliknya Pengerusinya, Datuk Hans Isaac perlu meletak jawatan susulan gagal memastikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di tahap terbaik untuk final Piala Malaysia, malam ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa menegaskan situasi padang yang dilihat bagaikan ‘jeans lusuh’ sememangnya amat memalukan apatah lagi padang SNBJ dianggap berkelas dunia dan sudah menganjurkan banyak aksi antarabangsa.

“Memang rumput akan tercabut dan maruah Malaysia dipijak buat kali kedua dalam tempoh sebulan. Tahniah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana meletakkan Malaysia di persada dunia dalam pengurusan padang bola terburuk.

“Gagal melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan akan menyebabkan imej organisasi tercalar. Pemimpin bermaruah akan lepaskan jawatan.

“Jadi individu terbabit perlu meletakkan jawatan, beliau sepatutnya jaga Istana Budaya bukannya SNBJ,” kata Sadek kepada BH Sukan.

Terdahulu, selepas beberapa hari kecoh mengenai isu kerosakan padang SNBJ, PSM akhirnya tampil membuat permohonan maaf.Menerusi kenyataan media malam tadi, PSM memohon maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan penganjur saingan Piala Malaysia 2023.

PSM turut memohon maaf kepada semua peminat sukan bola sepak negara terutamanya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) yang akan berentap di final trofi keagungan itu.

sumber:- BH

PSM mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.