Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) meminta pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menurunkan barisan kedua pada aksi final Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Perkara itu disuarakan mereka selepas Tunku Ismail melahirkan kebimbangannya mengenai risiko kecederaan pemain susulan keadaan padang yang tidak rata di venue aksi perlawanan kemuncak trofi berprestij itu.
Beliau yang hadir meninjau sesi latihan rasmi skuad Harimau Selatan di stadium berkenaan malam tadi berkata, perkara paling membimbangkannya adalah ancaman kecederaan yang boleh berlaku kepada beberapa tonggak kebangsaan ketika saingan Piala Asia di Qatar hanya berbaki sebulan sahaja lagi.
Ciapan Tunku Ismail itu meraih perhatian ramai pengguna media sosial dipercayai penyokong kelab itu yang memberi pendapat masing-masing termasuk mencadangan JDT menurunkan hanya pemain akademi atau pemain simpanan.
“Masukkan ‘second team’ (pasukan kedua) saja TMJ. Tak perlu rebut piala ini. ‘Asia Cup’ (Piala Asia) lagi penting. Rasanya ‘fans’ (penyokong) JDT faham. Sudah alang-alang padang tiada kualiti,” cadang Azmi Mohid.
“Keluarkan ‘second team’ saja Tunku. Simpan kaki yang bakal sarung jersi Malaysia,” kata Khairil Khamis.”Bila ‘player injured’ (pemain cedera) bukan rawat pun, JDT juga yang rawat. Sepatutnya kita contohi macam mana kebajikan JDT kepada ‘players’ (pemain). Betapa ‘serious’ (serius) JDT dengan peralatan yang ada,” kata Mohd Azrul Ahmad.
Namun, ada juga pencinta bola sepak yang mencadangkan supaya menukar venue perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam ini atau tunda ke tarikh yang lain.
“Tukar padang. ‘Safety important’ (keselamatan penting). Penyokong boleh faham ‘situation’ (situasi),” kata Chris Ram.
“Tuka venue je demi keselamatan semua pemain,” tulis Zull Faqar Jull pula.
Sementara itu, lebih 4,000 penyokong kelab JDT dari seluruh negeri ini dalam perjalanan ke SNBJ dengan menaiki 109 bas bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.
sumber:- BH
Bas-bas yang membawa penyokong itu bergerak pagi tadi, termasuk 600 penyokong yang bergerak dari Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin di sini.