sukan

Kekuatan dan Kelemahan

Debaran final Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) kian terasa sebelum sepak mula di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Secara keseluruhan, bekas jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin melihat JDT turun sebagai pilihan berdasarkan keseimbangan daripada setiap posisi namun TFC juga bukanlah pasukan yang calang-calang kerana mereka juga layak ke final.

Berikut adalah rumusan Sulaiman mengikut setiap posisi bagi kedua-dua pasukan finalis Piala Malaysia dan meskipun JDT dilihat lebih mantap, Sulaiman mengharapkan TFC mampu mencipta kejutan untuk merangkul Piala Malaysia 2023.

TFC

Penjaga gol

Penjaga gol mereka berada dalam prestasi yang terbaik dan secara keseluruhan, perlawanan ini akan menjadi medan untuk beberapa lagi pemain muda TFC mencuri tumpuan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.

Pertahanan

Kerisauan utama adalah jika TFC menaruh kepercayaan kepada barisan pertahanan ditunjangi anak tempatan untuk menangani jentera serangan JDT tetapi jika mereka boleh menghadapinya, ini buktikan mereka patut diberi peluang membarisi skuad kebangsaan.

Jika mereka berjaya memberi tekanan yang betul dan tidak melepaskan gol awal, saya rasa mereka ada peluang sama rata untuk menang di final.

Jentera tengah

Bahagian paling penting kerana siapa yang menang di ‘battle of midfield’, pasukan itu ada peluang dan kita harap jentera tengah mereka dapat memberi ‘servis’ yang baik kepada penyerang TFC di bahagian depan.

Penguasaan bola akan main peranan penting kerana TFC perlu simpan bola lebih baik dan tidak benarkan JDT pegang bola jika mahu cipta kejutan.

Serangan

Gandingan Ivan Mamut dan Sony Norde tidak boleh malas dan perlu bantu memberi tekanan kepada pertahanan JDT supaya mereka tidak boleh bergerak dengan selesa.

Norde perlukan gunakan tempat yang betul untuk gunakan kelebihan gelecekan supaya tak hilang bola dan Mamut perlu uji Syihan dengan percubaan jika ada peluang dari dalam atau luar kotak penalti.

Gerakan yang dijana perlu dihabiskan dengan baik dan tidak beri peluang untuk JDT menyerang balas.

JDT

Penjaga gol

Penjaga gol mereka adalah penjaga gol nombor satu negara tetapi ia boleh diatasi jika TFC banyak menguji Syihan di gawang.

TFC perlu berani melakukan percubaan supaya Syihan tidak selesa di gawangnya.

Pertahanan

Barisan pertahanan JDT dibarisi pemain berpengalaman tetapi mereka boleh diatasi kerana kekerapan pertahanan mereka meninggalkan posisi mereka.

Ruang ini perlu dimanfaatkan tenaga muda TFC untuk menyerang dengan pantas kerana mereka agak perlahan apabila melakukan ‘tracking back’. TFC perlu bermain secara menyerang.

Jentera tengah

Mereka ada Hong Wan dan Afiq Fazail sebagai pemain ‘box to box’, mereka bukanlah kaki gelecek tetapi menunggu dan membekalkan bola, rajin serta menjadi ‘ball winner’.

Selain matikan serangan lawan, mereka juga jadi punca serangan kerana mereka mengutip bola dari pertahanan dan buat hantaran.

Mereka perlu disekat daripada bermain seperti yang dimahukan dan paksa mereka bermain dengan cara lain, jadi TFC perlu sukarkan pemain tengah JDT daripada bermain dengan mudah.

Serangan

Barisan serangan yang begitu berbahaya namun kemampuan mereka dibantu dengan hantaran daripada bahagian tengah.

sumber:- BH

TFC perlu pastikan mereka kurang menerima bola dan sebab itulah TFC perlu beri tekanan yang hebat dan semua pemain perlu mainkan peranan dengan sangat baik.