sukan

Harus ingat pernah berlaku kejutan

Atas kertas kelebihan sudah tentu memihak kepada juara 10 kali Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjulang Piala Malaysia edisi 2023 berdasarkan kepada kekuatan pemain hampir sempurna di semua bahagian.

Namun, perlu diingatkan jangan disangka skuad Penyu akan terus menangis membiarkan piala paling berprestij itu terlepas begitu saja kerana kombinasi pemain muda dan berpengalaman dimiliki Terengganu juga boleh menyebabkan Harimau Selatan gigit jari sekali gus terlepas peluang menyapu licin gelaran untuk musim ini.

Bekas pemain bola sepak negara Richard Scully mengakui JDT skuad serba lengkap sekali gus sukar untuk pasukan lawan mencipta kemenangan pada musim ini.

“Namun, perlu ingat sejarah mungkin berulang apabila Kuala Lumpur City (KL City) FC pernah membuat kejutan dengan menewaskan JDT di pentas final Piala Malaysia 2021.

“Sekarang ini, JDT lebih tertekan berbanding Terengganu. Jika Terengganu menang adalah bonus namun kalah pun adalah kebanggaan kerana mampu beraksi di pentas final Piala Malaysia,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Nada sama turut disuarakan jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim yang melihat pasukan kegemaran untuk bawa pulang Piala Malaysia kali ini sudah pastinya adalah skuad Harimau Selatan.

“Sukar untuk barisan pertahanan Terengganu untuk menghalang jentera serangan JDT terutamanya menyekat kemaraan si budak keci l(Arif Aiman Hanapi) yang cukup lincah di atas padang.

“Apa pun, saya mengharapkan Terengganu mampu konsisten dan kurang melakukan kesilapan dalam usaha melakukan kejutan memenangi kejohanan tertua di Asia Tenggara itu,” katanya yang pernah membimbing Felda United dan Terengganu.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, JDT sudah pastinya tampil lebih garang bagi memastikan mampu membolot semua piala pada musim ini.

“Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri namun kelebihan sudah tentu berpihak kepada JDT yang lengkap di semua bahagian.

“Pentas final sebenarnya bukanlah ukuran sebenar kekuatan setiap pasukan kerana mereka sudah pastinya mempamerkan semangat juang luar biasa untuk memenangi perlawanan itu,” kata Akmal Rizal yang juga pengendali sementara Penang FC.

Selain itu, jurulatih berkaliber Sulaiman Hussin berkata, JDT sudah pastinya mahu buktikan mereka adalah ‘king’ dalam arena bola sepak tempatan sekali gus mahu menjulang Piala Malaysia 2023.

“Sudah pastinya jangan perkecilkan kemampuan Terengganu yang dibarisi pemain muda sudah tentu mereka mahu buktikan sesuatu untuk dipilih mewakili skuad kebangsaan.

sumber:- HM

“Atas kertas mungkin milik JDT namun di pentas final segalanya boleh berlaku dan kita mungkin saksikan perlawanan menarik Jumaat ini,” katanya.