sukan

Nasihat Subkhiddin untuk pengadil ‘lembik’

Pengadil yang ditugaskan mengadili perlawanan bola sepak mempunyai ilmu di dada sekali gus keputusan yang ditentukan mereka tidak akan dipengaruhi faktor luaran termasuklah desakan daripada pemain.

Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, pengadil yang lewat membuat keputusan tidak boleh dianggap ‘lembik’ atau penakut kerana mereka kemungkinan mahu mendapatkan pandangan daripada pembantu pengadil ketika perlawanan berlangsung.

Malah, Subkhiddin yang juga tenaga pengajar teknikal Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) melihat tidak mempunyai masalah jika terdapat perubahan keputusan selepas pengadil itu mendapat pandangan daripada penjaga garisan atau pegawai perlawanan.

“Pengadil membuat keputusan berdasarkan kepada undang-undang dan mereka ini ditugaskan atas padang sudah tentu mempunyai ilmu untuk mengendalikan perlawanan bola sepak.

“Kita mungkin tahu undang-undang berdasarkan apa yang ditulis dalam buku namun hakikatnya perlu mengetahui kesesuaiannya untuk diguna pakai di atas padang.

“Keputusan pengadil seharusnya jelas, nyata dan mudah difahami seterusnya perlu tenang membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh pemain atau pegawai pasukan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, perlawanan Penang FC menentang Terengganu FC menyaksikan pengadil perlawanan Mohd Fairuzi Mat Desa dikatakan ‘lembik’ apabila membuat keputusan selepas mendapat tekanan daripada pemain Penang FC.

Pada perlawanan yang berlangsung di stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi, menyaksikan Penang FC dihadiahkan sepakan penalti selepas penjaga gol Terengganu FC Rahadiazli Rahalim mengasari penyerang lawan.

Namun, Fairuzi dikatakan lewat meniup wisel selepas insiden terbabit berlaku dan memerlukan tempoh lama untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Penang FC sekali gus menimbulkan persoalan daripada penyokong bola sepak tempatan mengenai kredibilitinya sebagai pengadil.

sumber:- HM

Saingan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu menyaksikan mereka terpaksa berkongsi mata selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.