sukan

Erling Haaland bakal dikenakan hukuman berat

Erling Haaland berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin selepas merungut mengenai pengadil Simon Hooper di media sosial susulan keputusan seri dramatik Manchester City 3-3 dengan Tottenham awal pagi tadi.

Penyerang City itu berang selepas pegawai itu gagal memberikan ‘advantage’ pada saat-saat akhir pertembungan Liga Perdana Inggeris yang mendebarkan di Stadium Etihad.

Haaland dikasari tetapi bingkas bangun dan melorongkan bola kepada Jack Grealish namun Hooper memberhentikan perlawanan untuk menghadiahkan sepakan percuma.

Haaland seorang daripada beberapa pemain City yang marah terhadap pengadil itu dan dia meneruskan protesnya selepas perlawanan dengan menghantar semula klip video insiden itu di laman X dengan komen “Wtf”, satu slanga yang mengutuk.

Pengurus Pep Guardiola tidak menyedari mengenai hantaran Haaland di media sosial apabila beliau bercakap kepada wartawan selepas perlawanan itu, tetapi merujuk kepada reaksi Haaland di tengah padang, mengakui beliau faham dengan kemarahan pemain.

“Ia biasa,” kata bos City itu. “Reaksinya sama dengan 10 pemain lain. Peraturan menyatakan anda tidak boleh bercakap dengan pengadil atau pegawai keempat, jadi 10 pemain kami patut dibuang padang hari ini.

“Dia agak kecewa. Malah pengadil sekalipun – jika beliau beraksi buat Man City hari ini beliau akan kecewa dengan tindakan itu, ia sudah tentu.”

Guardiola cuba mengendurkan kritikannya, berkata ketika temu ramah di TV beliau tidak mahu membuat “komen Mikel Arteta”, merujuk kepada komen kontroversi pengurus Arsenal itu selepas perlawanan menentang Newcastle bulan lalu.

Beliau menambah pada sidang akhbar: “Saya ada buat silap, pemain ada buat silap.

“Ia mengejutkan saya kerana ketika Erling dijatuhkan jika anda meniup wisel ketika itu ok.

sumber:- BH

“Tetapi apabila dia bangun dan meneruskan perlawanan dan pengadil memberi isyarat meneruskan permainan dan selepas dia (Haaland) melakukan hantaran beliau kemudian memberhentikan perlawanan – saya tidak mahu mengkritiknya.” – AFP