Sepakan penalti Rafael Vitor membantu Penang FC (PFC) mengikat Terengganu FC (TFC) 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini, sebentar tadi.
Jaringan pada masa kecederaan beberapa saat sebelum permainan berakhir itu sekali gus menyekat hajat skuad Penyu daripada menempa kemenangan buat kali 11 selepas mengharungi 25 perlawanan malam ini.
Detik awal permainan menyaksikan pengendali sementara PFC, Akmal Rizal Rakhli memilih formasi 3-4-2-1 dengan meletakkan pemain skuad bawah 20 tahun, Haziq Mukriz sebagai penjaga gawang.
Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner menggunakan formasi 4-3-3 dengan membariskan Faris Rifqi, Safwan Mazlan, Shahrul Nizam, Azam Azmi sebagai benteng kem pelawat.
Skuad Harimau Kumbang cuba memecah kebuntuan menerusi dua percubaan berturut-turut sekitar minit ke-17 oleh Al Hafiz Harun dan Abdul Abdeen Temitope namun pantas dinafikan Rahadiazli Rahalim.
Kedua-dua pasukan saling melakukan asakan dengan penyerang, Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid cuba mencetak gol pada minit ke-19 namun rembatan deras dilakukan sekadar menggegar palang.
Skuad Penyu melakukan sekurang-kurangnya lima percubaan berbahaya tepat ke gawang tuan rumah pada separuh masa pertama sebelum Akmal Rizal terpaksa mengeluarkan Haziq Mukriz pada minit ke-42 selepas penjaga gol berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan.
Bersambung babak kedua perlawanan, Terengganu melakukan tiga pertukaran serentak mengeluarkan Muslihddin Atiq, Azam Azmi dan Nik Muhammad Sharif Haseefy yang diganti Engku Nur Syakir, Ubaidullah Shamsul serta Zuasyraf Zulkiefle.
Pemain tengah, Muhammad Syahmi Zamri akhirnya meletakkan Skuad Penyu di hadapan pada minit ke-66 dengan dia sebelum itu dilihat berjaya melepaskan diri daripada kawalan Iman Rafaei Abd Razak seterusnya melakukan larian solo sebelum meledak gol dari sudut kiri gawang lawan.
Skuad Penyu kelihatan selesa mendahului dengan jaringan 1-0 namun berlaku sedikit kekecohan pada saat-saat akhir apabila penjaga gol, Rahadiazli merempuh Nik Akif Syahiran ketika cuba merebut bola dalam kawasan penalti pada masa kecederaan.
sumber:- BH
Mengubah kisah di Stadium Bandaraya, kapten pasukan, Rafael Vitor akhirnya mendapat peluang menyudahkan penalti pada minit ke-99 sekali gus menggagalkan misi TFC mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan malam ini.