Pengalaman luas tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, Dion Cools sememangnya diperlukan bagi memberi keseimbangan buat pasukan negara terutamanya menjelang kempen Piala Asia di Qatar, Januari ini.
Menurut rakan sepasukan di bahagian pertahanan, Junior Eldstal, kehadiran Cools bukan saja memperkukuhkan benteng bahkan membawa keyakinan tambahan di kalangan pemain.
Katanya, pengalaman beraksi di Eropah bersama kelab-kelab utama termasuk di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dilihat sebagai aset terpenting Cools yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada rakan sepasukan lain.
Malah, selepas hampir memasuki setahun beraksi di Asia bersama Buriram United sama ada dalam saingan Liga Thai mahupun Liga Juara-Juara Asia (ACL), menjadikan Cools satu-satunya pemain negara yang memiliki pengalaman luas beraksi di dua saingan tertinggi benua Eropah dan Asia itu.
“Macam kita tahu skuad kita ada pemain yang paling kuat, sesiapa yang main kita ada kepercayaan semasa sendiri, semua kita percaya.
“Siapa yang main, siapa yang masuk, kita percaya antara satu sama lain. Bagi saya, Dion (Cools) bila dia masuk, dia bagi kita macam keyakinan kepada semua.
“Terutama untuk ‘ability’ Malaysia dan pemain tempatan yang boleh pergi jauh. Kita tahu dia punya standard dari Eropah dulu, dia bawa pengalaman dia juga dekat Buriram United.
“Jadi dia ada pengalaman bermain di Asia bukan hanya di Eropah sahaja,” kata Eldstal yang sudah beberapa kali bergandingan dengan Cools di bahagian pertahanan termasuk ketika aksi menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Taipei yang menyaksikan Malaysia menang 1-0.
Cools, 27, yang memiliki darah kacukan Malaysia-Belgium adalah bekas pemain OH Leuven, Club Brugge, FC Midtjylland, SV Zulte Waregem dan FK Jablonec.
Sepanjang tempoh 10 musim di Eropah itu, Cools pernah berentap dalam UCL dan menentang kelab ternama seperti Manchester United, Liverpool, Real Madrid dan banyak lagi.
Antara memori terindah sudah tentunya bagaimana dia menghalang gerakan pemain seperti Wayne Rooney, Marouane Fellaini, Jamie Vardy serta gambarnya yang tular bersaing menanduk bola dengan Casemiro ketika pemain Brazil itu bersama Real Madrid.
sumber:- HM
Lantas sudah tentu pengalaman Cools amat ditagih oleh skuad kendalian Kim Pan-gon terutama di Piala Asia nanti apabila Malaysia di undi dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Jordan dan Korea Selatan.