sukan

Erik ten Hag akui bersalah

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berkata beliau mengambil tanggungjawab kerana pasukannya sekali lagi mensia-siakan kelebihan mendahului dalam aksi Liga Juara-Juara selepas mereka terikat 3-3 dengan Galatasaray awal pagi tadi.

Juara Eropah tiga kali itu mensia-siakan kelebihan dua gol sebanyak dua kali di Istanbul dengan penjaga gol Andre Onana membuat dua kesilapan tidak sepatutnya, sekali gus menyukarkan harapan mereka untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir.

United kini di tangga tercorot Kumpulan A dengan empat mata daripada lima perlawanan tetapi hanya satu mata di belakang Copenhagen dan Galatasaray.

Mereka mesti menundukkan juara kumpulan Bayern Munich pada 12 Disember ini untuk layak.United mensia-siakan pendahuluan dua gol pada perlawanan peringkat kumpulan di Copenhagen sebelum tumbang 4-3 dan Ten Hag berkata kegagalan mereka untuk memenangi perlawanan adalah salahnya.

“Ia sering kali saya (dipersalahkan kerana mensia-siakan pendahuluan). Saya bertanggungjawab dengan semua ini tetapi juga sedar kami kini masih dalam satu projek,” kata pengendali dari Belanda itu kepada TNT Sports.

“Kami berada di laluan yang betul, jadi saya tahu ke mana kami harus pergi dan langkah apa yang perlu kami ambil dan saya pasti kami akan berjaya dalam jangka masa panjang.

“Jika kami mahu kekal dalam Liga Juara-Juara, kami perlu menang perlawanan berikutnya.”

Ten Hag yakin mereka akan mencari jalan penyelesaian untuk menyekat terlalu banyak gol dibolosi.

United menjaringkan gol terbanyak dalam kumpulan mereka dengan 12 tetapi terikat dengan Celtic bagi rekod bertahan kedua terburuk dalam Liga Juara-Juara musim ini, dengan 14 gol dibolosi.

Hanya Antwerp dalam Kumpulan H dibolosi lebih banyak gol (15).

“Kami akan menanganinya tetapi saya amat gembira, anda boleh lihat gaya pasukan,” katanya. “Proaktif, dinamik, berani, jadi itulah sebabnya saya katakan, saya amat gembira dengan persembahan.”

sumber:- BH

Pasukan kendalian Ten Hag akan berkunjung ke Newcastle United bagi aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu ini. – REUTERS