sukan

Pertembungan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba

Selangor FC menjadi pilihan untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat kedua, sekali gus layak bermain di pentas Piala AFC musim depan berdasarkan prestasi mereka yang lebih konsisten berbanding pasukan lain termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pertemuan antara KDA FC dan Selangor FC di Alor Setar, Sabtu ini akan menjadi tumpuan dan boleh dikatakan ia ibarat final untuk kedua-dua pasukan.

Beliau berkata, Selangor yang dikendali Tan Cheng Hoe mempunyai peluang lebih baik dengan kelebihan dua mata dimiliki ketika ini untuk mengatasi anak didik Nafuzi Zain di Stadium Darul Aman.

“Pertemuan antara Selangor dan Kedah ini sangat penting, tetapi saya melihat kelebihan itu ada kepada Selangor untuk berada di belakang JDT (Johor Darul Ta’zim) yang sudah dinobatkan sebagai juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut.

“Kalau kita lihat jumlah kemenangan antara kedua-dua pasukan tidak banyak beza, tetapi dua perlawanan terakhir itu amat penting buat mereka.

“Malah kalau kita tengok prestasi, Selangor lebih konsisten berbanding Kedah yang ada isu dalaman sebelum ini dan itu mungkin mengganggu prestasi serta pencapaian mereka pada musim ini.

“Kalau kita lihat sekarang, tidak boleh dinafikan, pasukan yang lebih bersedia untuk bermain di Piala AFC adalah Selangor,” katanya.

Selepas 24 aksi dan masih berbaki dua perlawanan, Selangor di tempat kedua liga dengan 55 mata manakala KDA FC mengekori rapat dengan 53 mata.

Pekan berkata, dua perlawanan terakhir untuk KDA FC agak mencabar apabila harus bertemu Selangor FC dan Sabah FC.

sumber:- HM

Menurutnya, mereka tiada pilihan dan hanya kemenangan sahaja boleh mencerahkan peluang untuk merampas kedudukan kedua liga dan ini menyebabkan tekanan lebih tinggi buat mereka.