sukan

Hadiah perpisahan, sah tinggalkan pasukan

Kemenangan 3-0 ke atas Kelantan United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi menjadi hadiah perpisahan bermakna buat penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City, Kevin Ray Mendoza bersama kelab itu.

Pemain antarabangsa Filipina itu dikhabarkan akan menyertai bekas ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak di kelab Indonesia, Persib Bandung.

Pengendali KL City, Nenad Bacina mengakui penghijrahan Mendoza satu kehilangan buat skuad City Boys kerana penjaga gol itu antara pemain penting buat pasukannya.

Dia bagaimanapun menjelaskan KL City masih mempunyai penjaga gol yang bagus sebagai ganti termasuk Azri Ghani dan Azim Al Amin Kamaruddin bagi menghadapi baki dua perlawanan musim ini.

“Ia sebahagian daripada bola sepak, Kevin sudah tiga tahun bersama KL City. Dia salah seorang pemain penting dalam pasukan, dia memainkan peranan besar dalam final Piala Malaysia dan Piala AFC.

“Jadi selepas tiga tahun, dia mencari cabaran baharu untuk diri dia. Namun, pada masa yang sama kami ada pengganti yang bagus juga, Azri Ghani dan penjaga gol muda, Azim.

“Ini satu cabaran buat Azri dan Azim untuk membuktikan diri mereka selain mendapat minit permainan. Mungkin (Mendoza menyertai Hodak), anda dengar perkara itu dan saya juga mendengarnya.

“Apa sahaja yang dia lakukan, saya ucapkan selamat berjaya. Saya fikir dia juga emosi seperti kami kerana kami pernah bersama mengharungi detik yang sukar dan meraikan kejayaan,” katanya.

Mendoza yang tidak diturunkan ketika berdepan Kelantan United, malam tadi pernah mengecapi kejayaan manis bersama KL City terutama menamatkan penantian 32 tahun skuad itu untuk menjulang Piala Malaysia pada 2021.

Dia juga bersama skuad itu mencipta sejarah muncul naib juara Piala AFC buat kali pertama pada tahun lalu selain turut bergelar naib juara Piala FA musim ini.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor menyifatkan ketiadaan beberapa pemain utama dan keadaan cuaca buruk di Kota Bharu memberi kesukaran buat pasukannya melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi KL City.

“Terus terang saya katakan kami dapat jalani latihan dalam empat sesi kerana di Kota Bharu anda semua tahu musim tengkujuh sudah melanda dan persiapan tergendala untuk berdepan KL City.

sumber:- BH

“Kami ada lima atau enam pemain utama tidak dapat bermain sebab masalah kesihatan dan penggantungan. Harap dua perlawanan terakhir pemain utama ini bermain dan kami cuba untuk pungut mata,” katanya.