sukan

Haaland cipta rekod baharu berdepan Liverpool

Jaringan penyamaan Trent Alexander Arnold membantu Liverpool mengikat Manchester City 1-1 pada pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, malam tadi.

City terlebih dahulu di depan pada minit ke-27 menerusi jaringan Erling Haaland selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol, Alisson yang gagal mengeluarkan bola dengan baik.

Gol itu membolehkan Haaland muncul sebagai pemain terpantas meledak 50 gol dalam EPL, hanya dalam 48 perlawanan.City beroleh gol kedua menerusi Ruben Dias namun jaringannya dibatalkan susulan kekasaran ke atas Alisson.

Bagaimanapun, Alexander Arnold yang berdepan kesukaran mengawal Jeremy Doku memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata apabila meledak jaringan penyamaan dari luar kotak penalti pada minit ke-78 sekali gus menjadi gol sulungnya musim ini.

Keputusan itu menyaksikan City kekal di persada liga namun keputusan ini pasti mengecewakan mereka ketika ‘The Reds’ pasti berpuas hati mengutip satu mata di tempat lawan.

Keputusan itu juga menyaksikan City terlepas peluang menyamai rekod 24 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri yang sebelum ini dicipta Sunderland antara Disember 1890 dan April 1892.

Namun, City berjaya memastikan Liverpool terus kempunan meraih kemenangan di Etihad di mana mereka hanya menang satu daripada 15 kunjungan terakhir ke City.

sumber:- BH

Kemenangan tunggal itu hadir pada kunjungan sulung Jurgen Klopp ke Stadium Etihad pada November 2015 di mana mereka menang 4-1. -AGENSI