Tempoh rehat dua bulan tanpa sebarang aksi kompetitif tidak membuatkan Selangor FC (SFC) ‘berkarat’ selepas mereka tidak berdepan masalah membelasah Perak FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Malah, hanya tiga minit diperlukan ‘The Red Giants’ untuk membuka jaringan menerusi Sharul Nazeem Zulpakar sebelum mereka menambah tiga lagi gol menerusi Mukhairi Ajmal Mahadi, Yohandry Orozco dan Ayron del Valle.
Pengendalinya, Tan Cheng Hoe jelas berpuas hati dengan keputusan terbabit selepas barisan pemainnya menunjukkan sikap dan karakter yang menginginkan kemenangan sekali gus tampil dengan aksi terbaik.
“Bukan mudah untuk menentang Perak FC selepas dua bulan tanpa sebarang aksi kompetitif yang sedikit sebanyak menjejaskan momentum dan keyakinan pasukan.
“Tetapi dengan gol awal yang diperoleh, ia meningkatkan keyakinan kita untuk mendapatkan gol seterusnya tetapi apa yang penting adalah kita untuk mendapatkan kedudukan yang terbaik untuk layak ke Asia nanti,” katanya.
Kemenangan ke atas The Bos Gaurus menyaksikan SFC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super sekali gus mencerahkan peluang mereka berentap di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.
Dalam masa sama, Cheng Hoe turut melihat pemain kebangsaan memberikan aksi yang memberangsangkan sekalipun baru pulang dari tugasan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
“Pemain kebangsaan memang membantu dengan pengalaman mereka beraksi di pentas tertinggi tetapi semua pemain tetap komited untuk menunjukkan aksi yang terbaik.
sumber:- BH
“Keseluruhan pasukan menunjukkan yang mereka bersedia untuk berdepan Perak FC,” kata Cheng Hoe.